
Katanya, kerajaan menggunakan dasar terbuka terhadap mana-mana penceramah, namun terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi.
“Pertama, siapa penganjurnya? Kalau mereka (penganjur) adalah badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar atau tidak?
“Dan penceramah itu, adakah dia mempunyai isu melibatkan ‘international security’ (keselamatan antarabangsa) ataupun mana-mana ajaran yang dikehendaki?” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Peruntukan e-Khas kepada 13 NGO dan persatuan kebajikan di Selangor.
Terdahulu, FMT melaporkan, Mujahid berkata kaedah dakwah yang menghina dan merendah-redahkan agama selain Islam adalah tidak sesuai di Malaysia.
“Kita perlukan kaedah penyampaian dakwah yang lebih intelek dan tenang tanpa merendahkan maruah agama lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, secara dasarnya kerajaan hari ini tidak menghalang mana-mana penceramah selagi penganjuran dan pemilihannya sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan.
Tambahnya, kerajaan juga tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap garis panduan itu kecuali dalam kawasan Wilayah Persekutuan sahaja.
“Kita tak ada tentangan yang mutlak. Kalau di Selangor, kuasa itu dari segi tauliah, bukan kami. Kalau Wilayah, ya kami. Kalau Pulau Pinang dan negeri-negeri lain semua di bawah takluk negeri masing-masing,” jelasnya.