Sudah pasti bukan perairan Singapura, kata MB Johor

Sudah pasti bukan perairan Singapura, kata MB Johor

Osman Sapian berkata dia melawat pasukan keselamatan menjalankan tugas di perairan negara.

Osman Sapian. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian hari ini menyangkal laporan beberapa portal berita dari Singapura, yang mendakwa beliau memasuki perairan negara itu semasa lawatannya ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura pada Rabu.

Beliau berkata lawatannya sekadar untuk melihat bagaimana pasukan keselamatan menjalankan tugas di perairan negara.

“Kami, ketika melawat Kapal MV Pedoman, tahu kawasan perairan dan sempadan 2 negara…sudah pasti kita tak akan masuk kawasan mereka kerana kita menghormati undang-undang kedua-dua belah pihak.

“Jadi, saya rasa kawasan yang saya lawat ketika itu bukannya kawasan Singapura sebab polis kita sendiri pun boleh masuk dan tujuan lawatan itu bukannya mahu membuat provokasi sebaliknya hanya mahu melihat pasukan keselamatan kita bertugas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana hari ini.

Beliau mengulas laporan beberapa portal berita Singapura semalam yang mendakwa 5 kapal pasukan keselamatan Malaysia dilihat memasuki perairan negara itu pada Rabu, selepas baru sehari kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja bagi menangani pertikaian maritim dan isu ruang udara.

Lima kapal itu didakwa dinaiki oleh rombongan Osman yang membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman di kawasan terbabit.

Osman berkata jika mengikut ulasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam laman sosial Youtube dan Facebook, ia secara jelas turut menyatakan memang terdapat kapal penguatkuasa Malaysia di kawasan terbabit.

“Jadi, saya rasa tidak perlu beritahu Singapura berkenaan lawatan yang dilakukan kerana masih berada dalam negara sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.