Masih ada ibu bapa yang muat naik gambar anak bogel di laman sosial

Masih ada ibu bapa yang muat naik gambar anak bogel di laman sosial

Laman sosial bukanlah diari peribadi anda, maka berhati-hati berkongsi gambar dan keterangan tertentu khususnya melibatkan si kecil

Kita semua seronok bila dapat muat naik gambar si kecil untuk ditayang kepada rakan-rakan di laman sosial. Tetapi tahukah anda ia boleh mengundang pelbagai masalah dan bahaya?

Jangan jadi ibu bapa yang hanya tahu ‘berseronok’ kongsi gambar anak tetapi tidak bijak dalam menimbangkan baik buruk di sebalik perbuatan itu.

Pendedahan gambar si kecil di media sosial dalam posisi atau pose tertentu boleh mengundang pelbagai ‘masalah’ sekali gus menjejaskan ‘hidup’ mereka dengan pelbagai kesan negatif.

1) Jauhkan daripada Internet

Anak yang masih kecil tidak perlu didedahkan secara langsung di dalam laman sosial kerana bahaya pengaruh luaran. Malah pendedahan tersebut boleh mengganggu privasi kehidupan yang mungkin tidak disedari pada zaman kecil tetapi boleh beri kesan pada fasa membesar.

2) Gambar anak tidak berpakaian

Masih ramai ibu bapa yang memuat naik gambar anak-anak sedang mandi tanpa berbaju atau bogel di laman sosial. Perkara ini bukan sahaja melanggar privasi tetapi menjurus ke arah pelbagai jenayah seperti pedofilia siber.

3) Gambar anak sakit

Gambar si kecil sakit atau tidak sihat sememangnya mengundang rasa sedih kepada sesiapa yang melihat tetapi ia bukan satu tindakan yang betul.

Pakar keibubapaan Dr. Kristy Goodwin menjelaskan, kehidupan ibu bapa boleh ‘tertunda’ dengan memuat naik keadaan tersebut memandangkan ramai yang akan bertanya khabar selepas melihat ‘berita sedih’ itu di laman sosial. Keadaan itu juga menyebabkan ibu bapa akan tidak selesa dengan keadaan dan semestinya mengganggu tugasan harian.

4) Kapsyen dengan gelaran yang memalukan

Ingat kanak-kanak sedang membina keyakinan diri sepanjang fasa pembesaran. Ramai ibu bapa menganggap kanak-kanak terlalu kecil untuk memahami gelaran seperti si gemuk, busuk kotor dan si kulit hitam. Keadaan itu memberikan si kecil merasa rendah diri dan menghantui kehidupan mereka.

5) Gambar peribadi yang bernilai

Hati-hati berkongsi gambar anak memenangi anugerah atau di majlis rasmi. Ia boleh membahayakan dan berpeluang diculik atau diugut pihak lain. Selain itu, tak perlulah kongsi gambar sekolah, pusat tusyen atau pembelajaran anak, jadual harian mereka, seolah mendedahkan keberadaan mereka yang boleh mengundang bahaya.

6) Gambar di tandas

Sama seperti golongan dewasa yang menganggap gambar di lokasi tersebut sangat peribadi, elakkan juga gambar sedemikian melibatkan kanak-kanak. Ia boleh mengundang rasa tidak selesa walaupun masih kecil.

7) Gambar bersama kanak-kanak lain

Mungkin anda rasa ia tidak membawa masalah, sekadar gambar kenangan bersama sepupu atau rakan-rakannya. Tetapi ingat, anda sepatutnya mendapatkan persetujuan ibu bapa kanak-kanak lain sebelum memuat naik gambar berkenaan supaya tidak menjadi masalah termasuk kes dengki atau penculikan.

8) Gambar sedang dibuli

Gambar buli banyak dimuat naik di Internet, mungkin kelihatan kelakar atau sebagai satu isu yang mahu diketengah tetapi sebenarnya ia menunjukkan kelemahan dan memberi kesan buruk kepada si kecil berkenaan.

9) Gambar yang tidak bersesuaian

Mendedahkan anak-anak dalam suasana atau berlatarkan situasi seperti merokok, alkohol atau penggunaan bahan tidak sesuai mengundang pandangan serong terhadap masyarakat selain kritikan. Lagipun kenapa perlu dedah anak kecil dengan objek tersebut dan dikongsi pula di laman sosial?

Semoga ibu bapa dan penjaga mengambil iktibar dari panduan di atas dan berpada-padalah memuat naik gambar si kecil.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.