
Orang ramai memberi pelbagai jenis bantuan termasuk bahan masakan, makanan ringan dan wang ringgit.
“Lepas tular ada orang cari saya suruh basuh kereta. Mereka beri KFC (untuk keluarga) dan duit lebih, suruh saya guna untuk anak-anak,” katanya kepada FMT di kediamannya hari ini.
Laporan FMT menyingkap kehidupan Sukumarah dan isteri, M Kanagi di rumah mereka yang terletak di di sebatang jalan berlumpur di Padang Jawa, Shah Alam dikongsi lebih 30,000 kali dan menerima pelbagai reaksi.
“Terima kasih, saya sudah berjaya menjumpai abang ini dan mengulurkan sedikit bantuan,” kata Thinesh Arumugan di Facebook FMT.
Artikel “How a Facebook post brought fame to a roadside car washer and sparked controversy” disiarkan pagi tadi.

Warga internet berpusu-pusu memberi kata semangat kepada Sukumarah, malah pencuci kereta itu juga dikunjungi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Rombongan Najib menaiki motosikal untuk melalui jalan ke rumah Sukumarah yang sempit, berselut dan berlecak. Beliau adalah ahli politik pertama yang melawat keluarga itu.
“Saya baca kisah anda di dalam media sosial, saya mahu tolong anda punya masalah,” katanya sejurus melangkah masuk ke rumah kecil keluarga itu.
Kata-kata Najib menimbulkan rasa sebak pasangan suami isteri itu. Kedua-duanya menceritakan pahit getir kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya dulu kemalangan, dalam badan pun sudah ada besi. Tak boleh buat kerja berat,” kata Sukumarah, tetapi disampuk isteri.
“Macam itu pun dia mahu kerja juga. Nak makan,” kata Kanagi.
Najib mengangguk faham dan bertanyakan perihal persekolahan Shariminy dan Hariaran.
Kanagi menyapu air mata sambil menceritakan kesukaran membayar yuran tadika anak bongsunya yang berdekatan rumah.
“Yuran masuk tadika mahal, sebanyak RM480. Kami tidak mampu,” katanya sebak.
Sebelum bersurai, Najib memberitahu Sukumarah dan Kanagi lebih banyak bantuan akan diberikan kepada mereka.
Begitu juga dengan masalah yuran tadika Hariaran.
“Umno Shah Alam akan uruskan semuanya,” katanya.