
Pengusaha ladang Cameron Highlands ketika ditemui FMT mendedahkan perkara itu berkata, peladang terpaksa melanggar larangan kerajaan kerana permintaan sayur yang tinggi.
“Masalah penerokaan haram ini timbul, salah satunya disebabkan pada 2008 segala permohonan TOL oleh orang tempatan dibekukan kerajaan negeri. Jadi kekurangan tanah menyebabkan penerokaan haram.
“Pekebun juga terpaksa melakukan tindakan itu sebab permintaan untuk sayur-sayuran daripada dalam dan luar negara seperti Singapura, Taiwan sangat tinggi, jadi kita memerlukan bekalan yang mencukupi.
“Jadi kita kena tingkatkan keluaran, jadi bila tanah tidak cukup penduduk tiada pilihan mereka kena teroka secara haram,” kata pengusaha ladang yang enggan dinamakan.
Beliau mendedahkan, sehingga kini hampir 2,000 ekar tanah diteroka secara haram di Cameron Highlands.
“Lambakan tanah haram ini selain TOL dibekukan, tindakan kerajaan memperkenalkan peraturan permohonan TOL terlalu ketat juga punca penduduk tidak mampu bersabar sehingga melakukan tindakan sendiri dengan mewujudkan ladang haram,” katanya.
Jelasnya, kesan lambakan ladang haram menyebabkan jumlah pekerja tidak berdaftar meningkat sehingga keadaannya sukar dikawal.
“Apabila adanya ladang haram ini, jumlah pekerja haram juga bertambah dan menjadi lambakan pekerja haram,” katanya sambil memaklumkan 90% mereka yang terlibat dengan penerokaan haram ini adalah penduduk tempatan.
Katanya, kesan daripada penerokaan haram ini menyebabkan sungai tercemar, selain kekurangan bekalan air serta tanah runtuh.
Katanya, langkah kerajaan melakukan operasi kawalan sebelum ini juga menemui kegagalan, apabila jumlahnya tidak berkurang.
“Ketika zaman Barisan Nasional (BN) memang dimulakan Ops Gading dan sekarang ditukar kepada Ops Lestari dan sepertimana kita tahu Ops ini tidak berapa berfungsi, saya harap kerajaan sekarang perlu ambil tindakan dengan segera kalau tidak dikawal ia akan lebih parah.
“Kawalan juga perlu dilakukan secara berterusan, serta melakukan penanaman semula. Kerajaan juga perlu memudahkan syarat pembaharuan lesen,” katanya sehingga kini tidak ada hukuman berat dikenakan terhadap pesalah.
Sementara itu, seorang penjual sayuran di Habu (Ringlet) berkata isu TOL memberi kesan kepada petani tempatan.
“Pihak berkuasa menerusi Ops Gading, mereka tidak memusnahkan ladang, sebaliknya mereka meminta kami meroboh struktur yang terbina di tanah pertanian yang kami guna.
“Walaupun kami diminta membuka kanopi, ia melibatkan ratusan ribu ringgit. Tindakan itu menyebabkan aktiviti pertanian kami musnah,” kata wanita itu yang terlibat membuka ladang haram susulan tidak mendapat TOL.
Ketika ditanya mengenai calon pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, wanita berkenaan menyifatkan semua pemimpin politik sama sahaja, baik BN mahupun Pakatan Harapan.
“Bagi saya siapa menang pilihan raya ini, tidak akan membawa apa-apa perubahan, nasib kami tetap sama.
“Saya tidak membuat keputusan untuk memilih mana-mana parti kali ini, tetapi sesiapa yang menang, ia tidak memberi apa-apa perubahan kepada kami, aktiviti perniagaan kami tetap rugi,” kata wanita yang mengundi DAP pada PRU14.
Wanita itu menambah, keputusan beliau mengundi DAP sebelum ini kerana desakan daripada keluarganya.
“Sehingga kini saya tidak kenal mana-mana pemimpin DAP termasuk, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng,” katanya.
Ops Gading merupakan gerakan membanteras aktiviti perladangan haram bermula sejak 2014.
Ia melibatkan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara.
Sementara itu, Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin menggesa kerajaan negeri Pahang memberi lanjutan masa 30 tahun kepada penerima TOL.
Katanya, industri pertanian di Cameron Highlands akan terus terkesan sekiranya isu lesen ini tidak diselesaikan.
Ketua Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, kerajaan negeri dilihat tidak bersungguh dalam meluluskan permohonan TOL.
“2,041 TOL yang sudah wujud, lebih daripada permohonan baru.
“Permohonan banyak tapi pihak kerajaan negeri saya difahamkan meluluskan 10 permohonan sebulan,” katanya.