
Perdana menteri yang dijadualkan tiba pada Rabu akan menghadiri forum berkenaan bersama Presiden Senegal, Macky Sall dan pemimpin serantau lain pada 17-19 Januari yang bertemakan Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman.
“Mereka ingin mendengar daripada beliau sendiri mengenai pengalaman Malaysia. Inilah pemimpin yang telah membawa Malaysia ke arena antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebuah negara baru muncul,” kata Duta Besar Malaysia ke Senegal, Shazelina Zainul Abidin pada Selasa.
Dalam taklimat kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan Dr Mahathir ke Senegal, Shazelina berkata ICEA tahun ini juga akan menyentuh kepentingan “juara nasional” (national champions) dalam usaha menjadi negara baru muncul.
“Kita mempunyai beberapa ‘juara’ seperti itu misalnya Petronas dan AirAsia. Jadi mereka hendak mendengar bagaimana beliau melakukannya, pengajaran yang dapat dipelajari mereka daripada pengalaman kita menjadi negara baru muncul, dan apa peranan yang dimainkan oleh juara nasional berkenaan,” kata beliau.
Menurut Shazelina yang ditugaskan ke negara Afrika Barat itu yang mempunyai penduduk seramai lebih 15 juta pada tahun lepas, Dr Mahathir ketua kerajaan pertama dari luar Afrika yang menghadiri persidangan itu.
Beliau berkata apabila Senegal mendapat tahu Dr Mahathir akan menghadiri persidangan ICEA-III itu, para pegawainya menghulurkan segala bentuk bantuan kepada kedutaan bagi memastikan perkara itu menjadi kenyataan.
“Senegal gembira menyambut kehadiran beliau. Beliau seorang tokoh yang sangat dihormati di Afrika,” kata beliau dan menambah, Dr Mahathir dijadual mengadakan perbincangan dengan Presiden Sall di Istana Presiden sejurus tiba di Dakar.
Ini merupakan lawatan pertama Dr Mahathir ke Senegal dalam tempoh 27 tahun selepas lawatan terakhirnya ke negara ini ialah pada 1992 untuk menghadiri perhimpunan G15.
Semua mata akan tertumpu kepada perdana menteri Malaysia yang berusia 93 tahun itu apabila beliau mengambil bahagian dalam beberapa panel perbincangan pada ICEA-III itu.