Reguraj, generasi ke-5 hasilkan periuk tanah untuk Ponggal

Reguraj, generasi ke-5 hasilkan periuk tanah untuk Ponggal

Reguraj antara orang yang paling sibuk sempena Ponggal kerana perlu menyiapkan beribu-ribu periuk tanah bagi memastikan bekalan yang cukup untuk perayaan itu.

Setiap kali tibanya perayaan Ponggal, pastinya masyarakat Tamil akan ‘mencari’ periuk tanah.

Ponggal atau pesta menuai tidak lengkap tanpa periuk tanah yang digunakan untuk menanak nasi manis – beras yang dimasak dengan susu dan gula melaka.

Ponggal disambut setiap tahun pada hari pertama bulan ‘Thai’ mengikut kalendar Tamil sebagai tanda meraikan hasil pertanian, dengan harapan tuaian pada tahun berikutnya akan lebih baik.

Dalam pada masyarakat Tamil sibuk membuat persediaan merayakan Ponggal, D. Reguraj, 42, mungkin antara yang lebih sibuk kerana perlu menyiapkan beribu-ribu periuk tanah bagi memastikan bekalan yang cukup untuk perayaan itu.

Untuk sambutan Ponggal pada 15 Jan ini, pengusaha produk tembikar itu mula membuat periuk tanah sejak 5 bulan lalu. Kilangnya mengeluarkan kira-kira 15,000 periuk sempena perayaan Ponggal tahun ini.

Simbolik susu melimpah

Perayaan Ponggal disambut selama 3 hari secara berbeza iaitu pada hari pertama -‘Thai Ponggal’- diraikan bersama anggota keluarga dengan berkumpul di sekeliling periuk tanah untuk “menyaksikan” susu yang dimasak melimpah daripada periuk yang digunakan. Limpahan susu melambangkan kebaikan dan kekayaan untuk seluruh keluarga.

Sambutan pada hari kedua – ‘Mattu Ponggal’- memberi tumpuan kepada haiwan yang dianggap suci iaitu lembu, yang dimandikan, diwarnakan tanduknya serta dihiasi dengan kalungan bunga.

Hari ketiga pula – ‘Kanni Ponggal’- memberi tumpuan kepada golongan anak dara – mereka perlu memakai pakaian baharu dan barang kemas untuk upacara sembahyang khas agar mendapat suami yang baik.

Menceritakan lanjut mengenai perusahaannya, Reguraj berkata tanah liat yang digunakan diproses terlebih dahulu bagi memastikan tekstur tanah liat yang digunakan sekata warnanya dan bebas daripada benda asing.

“Bekalan tanah liat diambil dari Ipoh kerana strukturnya lebih asli berbanding kawasan lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya, K.Devaraja Pottery di sempadan Parit Buntar, Nibong Tebal.

Ketuhar mesra alam

Beliau yang merupakan generasi ke-5 menjalankan perusahaan keluarganya yang bermula sejak lebih 120 tahun itu menjelaskan, proses menguli tanah liat memainkan peranan penting dalam menghasilkan periuk yang bermutu. Proses membuat setiap periuk tanah mengambil masa kira-kira 10 hari.

“Tanah liat diuli sebanyak 4 kali menggunakan mesin khas bagi memastikan kualiti periuk yang baik, tahan lama dan permukaan yang licin. Jika tidak diuli secukupnya, periuk akan mudah merekah dan pecah.

“Sesudah itu periuk dibentuk sebelum dijemur, sebaiknya di bawah cahaya matahari terik untuk tempoh seminggu sebelum dibakar selama 12 jam,” katanya yang mula membantu keluarganya sejak berusia 9 tahun.

Berbeza dengan zaman nenek moyangnya yang menggunakan ketuhar tradisional, Reguraj mencipta 2 buah ketuhar berkonsepkan mesra alam bagi menyesuaikan persekitaran yang dikelilingi kawasan perumahan dan sekolah.

Reguraj yang mempunyai sedikit sebanyak kemahiran teknikal dan kejuruteraan juga mencipta acuan dan mesin pencanai untuk kegunaan kilangnya yang mengeluarkan kira-kira 40 jenis produk tembikar – kebanyakannya untuk kegunaan dapur.

Dari segi motif-motif hiasan, beliau berkata ia bergantung kepada kehendak pelanggan kerana, ada yang mahukan periuk tanah yang ‘plain’ kerana ingin menghias mengikut kreativiti sendiri.

“Tapi, kami juga menghasilkan pelbagai corak berbeza setiap tahun seperti corak buah mempelam, bunga, tebu dan sebagainya yang mencerminkan simbolik Ponggal,” jelas beliau.

Permintaan memberangsangkan

Selain periuk tanah, antara produk pelbagai saiz yang dikeluarkan termasuk buyung laksa, periuk kukus, tempat letak kemenyan dan tempat letak pelita.

Kilang itu mampu menghasilkan 300 hingga 400 biji periuk pelbagai saiz dalam masa sehari itu. Purata jualan bulanan di luar musim Ponggal adalah kira-kira 3,000 pelbagai produk, berharga antara RM3 sehingga RM35 bergantung kepada saiz.

“Permintaan sempena perayaan Ponggal tahun ini begitu memberangsangkan. Kami mula menghasilkan periuk untuk Ponggal tahun ini sejak 5 bulan lalu untuk dipasarkan ke seluruh negara,” kata bapa kepada 2 anak perempuan, berusia 15 dan 17 tahun, itu.

“Periuk saiz kecil lebih laris kerana sesuai untuk kegunaan harian, manakala yang bersaiz besar untuk kegunaan kuil dan di ladang lembu,” katanya yang mempunyai 13 pekerja.

Menyentuh masa depan perusahaan itu, Reguraj memberitahu bahawa anak-anaknya sangat berminat untuk meneruskan perniagaan warisan turun-temurun keluarganya itu.

“Saya yakin perniagaan kami ada masa depan kerana perkakas seperti periuk tanah, belanga dan buyung masih ada peminatnya yang tersendiri.

“Permintaan masih tinggi bukan sahaja ketika Ponggal lagipun inilah satu-satunya pusat pengeluar perkaks seumpamanya di sini. Cuma mungkin akan menghadapi masalah untuk mendapatkan tanah liat kerana banyak kawasan tanah liat yang baik semakin terlibat dalam projek pembangunan,” katanya.

Beliau juga mempunyai 2 buah cawangan kilang di Kuala Selangor dan Teluk Intan yang diusahakan oleh saudara maranya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.