Melihat seseorang membela kucing sebagai hobi atau peneman adalah biasa, bagaimana pula dengan haiwan eksotik seperti ular?

Bagi seorang guru muda dari Kemaman, Suzila Hashim, dia memiliki keunikan tersendiri apabila berani menjadikan binatang eksotik seperti biawak dan ular sebagai haiwan peliharaan.
Bagi Suzila, memeluk dan bermesra dengan binatang eksotik membuatkan hatinya tenang dan mampu hilangkan bebanan kerja sepanjang hari.
Malah Suzila sanggup membina bilik khas di rumah untuk menempatkan ‘anak-anak’ kesayangannya itu.
“Setiap kali tertekan dengan kerja, saya akan memeluk ular dan biawak. Badannya yang sejuk membuatkan hati saya tenang,” ujar Suzila ketika dihubungi FMT Ohsem.

“Jika tidak menjenguk ‘anak-anak’ maka akan timbul perasaan bersalah dalam diri, sebab itu walau sesibuk mana sekalipun, saya akan tetap luangkan masa bersama binatang-binatang tersebut,” ujarnya yang memiliki lebih 5 ekor biawak.
Suzila mengibaratkan haiwan-haiwan eksotik peliharaannya itu sebagai ahli keluarga sendiri, malah setiap kali ada ‘masalah’ dia akan berkongsi cerita dengan binatang berkenaan.
Ditanya mengenai cara untuk menjinakkan haiwan reptilia tersebut, beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Jalan 3 Bandar Baru Bangi itu berkata, sentuhan mampu merapatkan hubungan mereka.
“Semua haiwan ini jinak kerana saya menjaganya sejak kecil lagi. Haiwan ini mengenali saya seperti ibu mereka sendiri memandangkan kami sudah ada ‘bonding‘ ekoran dijaga sejak kecil ,” ujarnya yang menamakan salah seekor biawaknya sebagai Jane.

Selepas hampir 20 tahun jatuh cinta dengan binatang eksotik, Suzila mula berkongsi hobinya dengan membuka taman haiwan yang menghimpunkan beberapa reptilia dan mamalia kecil lain.
Taman haiwan berkonsep petting zoo itu dinamakan G2G Animal Garden.
“Pada awal pembukaan G2G Animal Garden, saya sememangnya berdepan pelbagai dugaan termasuk terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama setahun bagi menguruskan pelbagai dokumen termasuk permit haiwan,” ujarnya.
Kini, taman haiwan yang terletak Seri Kembangan itu menghimpunkan lebih 200 ekor haiwan daripada pelbagai spesis dan boleh dikunjungi orang ramai dengan bayaran masuk yang minima.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]