Miliki rumah sebelum usia 30 tahun, ikuti 8 tips ini

Miliki rumah sebelum usia 30 tahun, ikuti 8 tips ini

Kawal perbelanjaan supaya boleh susun kewangan sebelum memiliki kediaman sendiri.

Memiliki rumah menjadi idaman semua namun bagi yang baru bekerja, membuat simpanan sebagai pendahuluan semestinya sesuatu yang sukar.

Maklumlah baru sahaja ‘pegang’ duit sendiri macam-macam benda mahu capai.

Pensyarah kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr. Nuradli Ridzwan Mohd. Dali berkongsi beberapa panduan persediaan untuk golongan muda sebelum membeli rumah.

Beliau menggesa agar golongan muda bersikap realistik semasa membeli rumah pertama sebelum mencapai usia 30 tahun supaya tidak terbeban dengan hutang yang panjang di kemudian hari.

1. Tetapkan matlamat membeli rumah dan tarikh mendapatkannya

Jika kita menetapkan ‘target’, kita pasti akan bersemangat untuk memiliknya. Walaupun sukar tetapi semangat yang ditetapkan membuatkan anda lebih bersunguh-sungguh untuk memiliki rumah.

2. Pelajari ilmu asas kewangan seperti nilai masa wang kerana (time value of money) ia berguna untuk menilai berapa jumlah ansuran bulanan yang perlu dijelaskan

Ini penting supaya anda boleh susun kewangan sebelum memiliki kediaman sendiri, dari situ kawal perbelanjaan supaya berbelanja untuk perkara penting sahaja.

3. Baca buku kewangan dan hadir seminar serta kursus mempercepatkan pemahaman mengenai kewangan dan pelaburan

Pengetahuan berkaitan rumah adalah penting supaya tidak mudah ditipu, jadi sebelum membeli rumah, dapatkan pengetahuan asas memiliki rumah.

4. Buat perancangan belanjawan bulanan untuk dapatkan deposit pembelian rumah termasuk kos guaman, stem duti, kos masuk rumah baharu dan lain-lain

Situasi ini memerlukan anda berjimat, sebelum membuat keputusan membeli rumah, susun kewangan anda.

5. Pastikan pendapatan anda adalah lebih besar dari perbelanjaan atau belanja mengikut kemampuan

Selidik dulu rumah yang diminati, lihat harga sama ada bersesuaian dengan gaji atau tidak, jika tidak anda akan terbeban selain komitmen yang tinggi.

6. Simpan dahulu belanja kemudian, pastikan menabung dengan konsisten

Amalkan kehidupan sederhana, menabung dari mula bekerja supaya tidak terbeban jika mahu membeli aset. Ini penting supaya tidak terbeban dengan pinjaman, amalkan menyimpan, biar sedikit lama-lama ia berguna juga. Memohon pinjaman untuk pendahuluan akan membuatkan anda terpaksa tanggung 2 kali pinjaman.

7. Tidak salah jika anda membuat kajian kawasan rumah yang anda beli, keadaan itu membuatkan mudah selepas berpindah kerana tahu kemudahan yang ada di sekitar kawasan anda

Ia meliputi dari segi harga, lokasi, potensi pembangunan pada masa hadapan, persekitaran.

8. Beli rumah yang kecil dahulu dan jika anda membeli sebuah rumah atau apartmen yang mempunyai 3 bilik dan masih bujang, boleh menyewakan 2 bilik tersebut untuk tambah tabungan

Dengan cara itu anda boleh kembali menabung, maklumlah membeli rumah buat pertama kali membuatkan kita kehabisan simpanan, jadi tidak salah jmenyewakan 2 lagi bilik kosong di rumah, selain menjana duit ia memberikan teman tinggal.

Semoga tips ini memberi maklumat tambahan kepada golongan muda memiliki rumah sendiri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.