Pelbagai jenis makanan berlemak serta lambakan makanan manis di pasaran hari ini mungkin menjadi petanda awal dunia bakal kehilangan generasi masa depan kerana ramai yang akan ‘pergi awal’ ekoran kesilapan sendiri memilih makanan.

Jika dahulu, usia 70-an masih bertenaga melakukan kerja-kerja berat, namun kini seawal 40-an ramai dalam kalangan kita berdepan pelbagai penyakit kronik.
Ramai yang terpaksa menjadikan suplemen sebagai ‘teman sejati’ maklumlah pengambilan makanan yang dipenuhi dengan minyak, lemak menyebabkan generasi hari ini lebih cepat berdepan masalah kesihatan yang serius.
Bagi Maimun Yusuf atau lebih dikenali Tok Mun yang dilahir pada tahun 1919 di Kuala Terengganu lain pula ceritanya. Dia dianugerahkan Allah dengan umur yang panjang dan kesihatan yang memuaskan walaupun usianya mencecah 100 tahun.
Malah, dia masih mampu berbasikal bagi menguruskan kehidupan bersendirian di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu.
Nama Tok Mun pernah menjadi sebutan ramai berikutan menjadi calon wakil rakyat tertua di negara ini. Dia terlibat dalam dua pilihan raya umum iaitu PRU ke-12 pada 2008 dan PRU-13 2013.
Berkongsi petua kehidupannya, warga emas yang memiliki enam anak itu mengakui pengambilan makanan sihat penting dalam diet seharian supaya kekal sihat dan tidak didatangi penyakit kronik.
Antara petua yang diamalkan Tok Mun adalah:
1. Makan nasi panas bersama taburan lada hitam
Pengambilan nasi panas bersama lada hitam diamalkan oleh ibu-ibu semasa berpantang. Tetapi, menurut Tok Mun, amalan ini baik untuk memanaskan dan menyegarkan badan selain bagus untuk melawaskan kencing .
2. Amalkan sup sayur
Pengambilan sayur yang dimasak bening atau sup sayur mudah dilakukan. Penyediaannya juga tidak melibatkan penggunaan minyak atau lemak.
Hidangan sihat hanya memerlukan bawang merah sebagai rencah.
3. Ikan rebus atau bakar
Ikan yang direbus mempunyai banyak protein ditambah pula jika ikan yang digunakan masih segar. Penyediaan ikan tersebut juga mudah tanpa perlu meletakkan sebarang bahan lain.
4. Kunyit muda sebagai ulam
Kunyit adalah sejenis ulam yang murah dan mudah diperoleh, pengambilan kunyit hidup sebagai ulam mampu menguatkan otot dalaman selain menambah tenaga.
5. Madu
Pengambilan madu mampu memberikan tenaga semula jadi, tidak perlu pengambilan yang banyak sekadar satu sudu besar setiap hari.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]