Jangan biar ego musnah hubungan baik Malaysia-Singapura, kata Anifah

Anifah Aman berkata, ketika menjadi menteri luar dahulu, beliau sering berdepan pelbagai cabaran dalam menguruskan hubungan dua hala dengan negara jiran. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman menasihatkan kerajaan tidak melakukan sebarang tindakan provokasi atau membiarkan sesiapa pun membuat kenyataan yang akan merosakkan hubungan dengan negara lain, susulan ketegangan antara Malaysia dan Singapura baru-baru ini.

Beliau berkata, Wisma Putra memainkan peranan penting menyelesaikan isu rumit dalam dunia diplomasi yang membabitkan aspek multilateral yang menuntut kerjasama antara 2 negara.

“Hasil rundingan di peringkat pegawai dibawa ke pertimbangan menteri luar negeri sebelum diputuskan oleh perdana menteri.

“Sekiranya kata putus gagal dicapai, maka usaha-usaha lain akan dilaksana (untuk) membawa isu berkaitan ke pengadilan atau tribunal antarabangsa. Usaha seperti ini sudah tentu dilakukan secara berhemah dan bijaksana.

“Janganlah kerana keegoan kita memusnahkan apa yang telah dibina selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anifah mengulas hubungan Malaysia-Singapura yang tegang sejak Oktober lalu, susulan isu ruang udara dan sempadan maritim.

Singapura memperluaskan pelabuhannya pada 6 Disember lalu, selepas Malaysia memperluaskan had pelabuhan Johor Bahru ke perairan Singapura.

Ia diikuti pertikaian ruang udara apabila Singapura memperkenalkan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar, di mana Malaysia berpendapat sistem itu menceroboh ruang udara negara, menghalang pembinaan bangunan tinggi di Pasir Gudang dan Pelabuhan Pasir Gudang berdepan pelbagai sekatan dan risiko.

Keadaan bertambah teruk apabila Singapura menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang sepatutnya diadakan Isnin dan Selasa lalu, atas alasan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian didakwa menceroboh perairan republik itu berhampiran Tuas pada 9 Januari lalu.

Osman dilaporkan berkata, beliau hanya melawat anggota Jabatan Laut yang bertugas dalam Kapal MV Pedoman di sempadan perairan Malaysia-Singapura dan lawatan yang diketahui Wisma Putra itu bukannya untuk tujuan provokasi.

Katanya, beliau tidak menceroboh perairan Singapura kerana pasukan yang mengendalikan kapal itu adalah mereka yang arif mengenai persempadanan perairan.

Anifah berkata, Malaysia dan Singapura mempunyai nilai persamaan dan republik itu ialah sekutu rapat dalam memperjuangkan isu multilateral serta antarabangsa.

Beliau berkata, nilai dan elemen seperti itu perlu diambil kira dalam menjalin hubungan diplomatik sihat.

Katanya, ketika menjadi menteri luar, beliau sering berdepan pelbagai cabaran dalam menguruskan hubungan dua hala dengan negara jiran.

“Walaupun banyak dugaan dan halangan, kita sentiasa dapat mengharungi semua ujian dengan tenang dan berkesan.

“Negara jiran tetangga sering memuji kecekapan dan kebijaksanaan diplomasi yang kita tonjolkan. Sudah tentunya ia merupakan hasil rundingan da usaha diplomatik di sebalik tabir oleh pegawai Wisma Putra yang bekerja tanpa mengira masa yang telah membuahkan kejayaan cemerlang bagi negara.”