Akademik: Rumah ibadat boleh jadi medan rai perbezaan budaya

Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.

KUALA LUMPUR: Perpaduan negara perlu dipupuk melalui diri rakyat sendiri tanpa perlu menunggu sebarang pelaksanaan dasar mahupun parti politik, kata Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.

Katanya, rakyat boleh menunjukkan kesatupaduan bermula daripada rakan berlainan bangsa dan meraikan perayaan bersama.

“Di Malaysia, rumah ibadat seperti tokong, gereja dan masjid boleh dijadikan medan untuk rakyat menziarah dan meraikan perbezaan budaya.

“Mungkin kebanyakan masanya kita tidak bersetuju antara satu sama lain tetapi kita tetap tinggal bersama kerana kita sudah belajar untuk menerima dan menghormati.

“Perpaduan boleh dimulakan dengan diri kita, berkawan dengan bangsa lain, sentiasa terlibat dengan aktiviti. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit,” katanya dalam ‘Forum Perpaduan: Impian atau Realiti’.

Kata Tajuddin, rakyat juga boleh bergerak melalui persatuan dan melaksanakan program yang beragendakan perpaduan.

“Selain itu, kita harus menggerakkan universiti, profesor dan tenaga pengajar supaya membuka minda anak-anak muda yang bakal jadi pemimpin dan membentuk perpaduan masa akan datang,” katanya.

Prof Madya Madeline Berma.

Prof Madya Madeline Berma pula berpendapat perpaduan rakyat ketika ini belum cukup kukuh seperti yang sepatutnya kerana masih mencari sebab mengapa mereka perlu bersatu padu.

“Kita kadang-kadang sahaja menunjukkan sikap bersatu padu tetapi perpaduan seolah-olah bayangan sahaja. Kita keliru mahu menjadi masyarakat yang bagaimana sebenarnya.

“Agenda perpaduan negara perlu diteruskan, jangan biarkan mana-mana pihak menghalangnya, jangan hanya bersikap orang Melayu kena faham orang Cina atau sebaliknya, perlu hormat satu sama lain dan bersatu padu sehingga kita tidak lagi bercakap mengenai soal kaum dan agama semata-mata,” katanya.

Ahli politik utamakan agenda perpaduan

Shahril Hamdan.

Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan memberikan perspektif daripada seorang pemimpin politik yang berharap semua parti dan ahli politik meletakkan agenda perpaduan sebagai antara perjuangan utama mereka.

“Semua ahli politik main peranan, walaupun parti mempunyai pendirian sendiri, ada masanya ahli politik perlu bangun dan menyatupadukan rakyat.

Kata Shahril, 60% daripada masyarakat masih mempunyai persepsi negatif terhadap bangsa lain dan perkara itu harus diubah.

“Kita masih tertanya-tanya apa itu identiti nasional dan sehingga kini, kita tidak mempunyai jawapan yang jelas. Semua orang ada jawapan berbeza.

“Lebih teruk adalah sebahagian masyarakat yang tidak memikirkan langsung pasal identiti nasional. Itu sudah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperbetulkan pemikiran mereka,” katanya.

Shahril berkata, jika mentaliti lama tidak diubah, semakin lambat untuk mencapai perpaduan yang diinginkan.

“Sebagai contoh, orang Melayu tidak boleh memburukkan masyarakat bukan Melayu sehingga menghalau pulang ke negara asal mereka.

“Kita kena cari jalan dan mengadakan pendekatan serta strategi yang sesuai dengan semua segmen masyarakat, bukan masyarakat bandar sahaja, penduduk luar bandar juga perlu mengubah mentaliti mereka,” katanya.

Suguna Papachan.

Suguna Papachan selaku aktivis wanita pula mahukan naratif kehidupan masyarakat Malaysia diubah pada masa akan datang.

“Sudah 50 tahun kita menggunakan naratif perjuangan orang Melayu, sudah tiba masanya kita mempunyai alternatif.

“Apabila naratif itu diubah, saya percaya situasi politik akan berubah dan generasi muda yang mempunyai mentaliti lama juga akan berubah.

“Namun perubahan yang diharapkan memerlukan kuasa politik dan mereka perlu sentiasa mengetengahkan bangsa lain sama seperti bangsa Melayu. Barulah kita boleh bergerak ke arah perpaduan,” katanya.