Hanya 10 minit! Resepi masakan ayam bagi ibu bekerja

Hanya 10 minit! Resepi masakan ayam bagi ibu bekerja

Butterkicap menyediakan resepi masakan mudah menggunakan ayam sebagai bahan asas untuk sajian seisi keluarga.

Rata-rata ibu bapa yang bekerja memilih untuk membeli makanan dari luar disebabkan terlalu penat untuk memasak setelah seharian bekerja ataupun malas memasak kerana penyediaannya mengambil masa terlalu lama.

Apabila anda dah siap masak, selera nak makan pun dah tiada, betul tak?

Butterkicap menyediakan resepi masakan mudah menggunakan ayam sebagai bahan asas untuk dijamu seluruh ahli keluarga.

Kesemua resepi ini dapat disiapkan dalam masa 10 minit sahaja. Perlu kami nyatakan di sini bahawa tempoh memasak ini tidak termasuk waktu penyediaan ya. Kalau nak buat persiapan, buatlah pada awal pagi sebelum anda ke tempat kerja.

Ayam Masak Hitam

Sajian ini boleh disediakan dalam masa yang singkat. Ia boleh dijadikan menu utama sebagai bekal anda dan boleh juga dihidangkan sebagai makan malam. Bak kata pepatah, sambil menyelam, minum air, betul tak?

Bagi peminat sajian berkicap, masakan ini memang sesuai untuk anda dan tak kurang juga, cukup diminati oleh anak-anak kecil.

Bahan-Bahan:
1/2 ekor ayam, potong 8
1 sudu besar serbuk kunyit
Garam & gula secukup rasa
1 biji tomato, dibelah 4
1 biji bawang besar, dimayang
Kicap manis secukup rasa
Buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis, rempah untuk tumis
Air secukupnya

Bahan kisar
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Halia – besar ibu jari

Cara-Cara:

  • Gaulkan ayam dengan serbuk kunyit dan garam secukup rasa. Gorengkan sehingga separuh masak. Setelah itu, angkat dan biarkan seketika.
  • Dalam kuali yang lain, panaskan minyak dan tumiskan rempah dan bahan kisar yang telah disediakan. Biarkan sehingga pecah minyak.
  • Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan tambahkan kicap secukup rasa mengikut citarasa anda.
  • Kemudian, tambahkan air 1/2 cawan dan biarkan sehingga mendidih.
  • Masukkan gula, garam secukup rasa, tomato, dan bawang besar. Apabila kuah sudah pekat, tutup api dan siap untuk dihidangkan.

Ayam Goreng Popcorn

Sajian kedua ialah ayam goreng popcorn. Hidangan ini ringkas dan cukup popular  dikalangan kanak-kanak. Untuk menyediakan sajian ini, saiz ketulan ayam ini boleh disesuaikan menurut citarasa anda. Namun begitu, janganlah terlalu besar potongannya, nanti tercekik pula!

Bahan-Bahan:
500gm dada ayam, dipotong dadu
2 ulas bawang putih, dihiris halus
1/2 sudu teh garam
1/4 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 cawan tepung
2 1/2 cawan emping jagung, diramas
1/4 sudu teh serbuk paprika
1/4 sudu teh serbuk lada sulah
1/4 cawan mentega
2 biji telur, diukul
3 cawan minyak masak

Cara-Cara:

  • Masukkan ayam, bawang putih, garam dan serbuk lada hitam ke dalam mangkuk.
  • Gaulkan rata dan perapkan ayam selama 30 minit. Biarkan seketika.
  • Dalam mangkuk berasingan, gaulkan bersama empingan jagung, serbuk paprika, garam dan serbuk lada sulah secukup rasa. Gaulkan semua bahan serata.
  • Ambil ayam dan gaulkan ke dalam mangkuk berisi tepung sehingga rata.
  • Kemudian, celupkan ayam ke dalam bancuhan telur dan sadurkan dengan bancuhan empingan jagung tadi.
  • Panaskan minyak masak dan tambahkan mentega. Biarkan sehingga mentega cair.
  • Apabila minyak telah panas, gorengkan ayam sehingga warna keemasan. Ulangi proses sehingga ayam habis.
  • Goreng ayam sehingga masak. Angkat ayam dan toskan minyak. Ayam goreng sedia untuk dihidangkan.

Ayam Goreng Lada Hitam

Sajian ayam goreng lada hitam ini adalah resepi ayam 10 minit yang paling senang dan pantas untuk disediakan. Sajian ini hanya memerlukan anda untuk perapkan ayam dengan bahan perasa lain. Lebih lama diperap, lebih sedap hasilnya. Apa lagi alasan anda nak beri kalau kerja anda hanyalah memerap ayam sahaja?

Bahan-Bahan:
5 ketul isi ayam saiz sederhana
2 sudu besar lada hitam, ditumbuk halus
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap pekat
1 sudu teh gula
Minyak masak

Cara-Cara:

  • Campurkan ayam bersama lada hitam, sos tiram, kicap pekat dan gula dalam satu mangkuk. Gaulkan sehingga sebati. Perapkan ayam tersebut selama 1 jam.
  • Gorengkan ayam sehingga masak. Siap untuk dihidangkan.

Artikel lengkap pernah dikeluarkan dalam www.butterkicap.com

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.