Latihan praktikal bakal graduan dan peranan Kementerian Pendidikan

Latihan praktikal bakal graduan dan peranan Kementerian Pendidikan

Latihan praktikal adalah satu 'requirement' di pihak universiti, sementara mahasiswa terlibat mesti menjalaninya untuk lulus dalam subjek atau kursus yang diambil.

Tempoh latihan dan elaun yang tidak seragam merupakan antara isu yang perlu diatasi bagi mengurangkan beban pelajar yang menjalani latihan praktikal wajib. (Gambar AFP)

Seperti dimaklumi umum, kebanyakan kursus yang ditawarkan di IPTA/IPTS melibatkan sesi praktikal atau latihan industri di mana-mana sektor swasta atau kerajaan yang kebiasaannya memakan masa selama 2 ke 6 bulan.

Sepanjang tempoh tersebut, mahasiswa perlu mencari sektor industri ataupun korporat yang menawarkan sesi latihan kepada majoriti yang terlibat.

Sekiranya mahasiswa menjalani sesi itu di sektor swasta, mungkin mereka diberi elaun bulanan yang tidaklah mencukupi untuk menanggung kos sara hidup seperti makan minum, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya. Manakala dalam sektor awam mereka langsung tidak diberi elaun sepanjang tempoh tersebut.

Sesi latihan praktikal adalah satu “requirement” di pihak universiti dan mahasiswa yang terlibat mesti menjalaninya untuk lulus dalam subjek atau kursus yang diambil.

Isu pertama yang mahu ditimbulkan di sini ialah tentang tempoh sesi praktikal yang tidak seragam di antara IPTA/IPTS yang ada. Ada sesetengah universiti memperuntukkan tempoh selama 2 hingga 3 bulan, sementara sesetengah universiti ain memperuntukkan tempoh 3 ke 6. Perbezaan ini bukan hanya terjadi di antara Universiti, malah antara kursus di universiti yang sama juga.

Kebanyakan syarikat swasta sukar menerima mahasiswa yang ingin menjalani sesi praktikal untuk tempoh seperti 2 bulan kerana menganggap ia terlalu singkat untuk tujuan memahirkan diri pelajar.

Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mentapkan satu peraturan atau dasar yang menyeragamkan tempoh sesi praktikal bagi semua IPT di Malaysia supaya ia selari dan memudahkan pihak yang terlibat dengannya, sama ada syarikat, agensi, jabatan atau pelajar.

Tempoh praktikal juga wajar dipanjangkan supaya mahasiswa yang terlibat betul-betul dapat menguasai atau mengalami suasana bekerja dengan lebih terperinci. Ini akan melahirkan graduan yang lebih bersedia dalam mendepani cabaran alam pekerjaan apabila tamat belajar.

Isu kedua berkaitan elaun yang diberikan sepanjang tempoh praktikal. Kadang-kadang mahasiswa terpaksa menjalani latihan praktikal di luar kawasan tempat tinggal mereka kerana ketidaksesuaian industri atau tiada industri yang berkaitan dengan kursus yang diambil.

Justeru mereka terpaksa mencari tempat praktikal di luar dari tempat asal mereka yang menelan kos tinggi dan membebankan.

Kebanyakan syarikat yang menyediakan latihan industri terletak di bandar besar seperti KL, Putrajaya, Shah Alam, JB, Pulau Pinang dan sebagainya. Kos sara hidup di bandar ini amat tinggi, apatah lagi dalam keadaan mahasiswa perlu menanggung kos makan minum, kenderaan, tempat tinggal dan pakaian.

Dalam hal ini, KPM perlu menyediakan atau menetapkan kadar elaun yang mencukupi dan munasabah kepada mahasiswa yang menjalani sesi praktikal, tidak kira sama ada sektor swasta apatah lagi sektor awam yang melibatkan kerajaan.

Seragamkan jumlah elaun berdasarkan industri terlibat yang perlu dibayar sepanjang tempoh praktikal. Ini merupakan satu langkah atau cadangan yang adil bagi kedua-dua pihak, iaitu syarikat dan pelajar.

Ia perlu dimulakan oleh Kementerian Pendidikan sendiri dengan kerjasama kementerian lain yang terlibat. Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan hampir 500,000 mahasiswa di seluruh Malaysia.

Mahasiswa yang menjalani latihan praktikal wajib dibayar elaun atau gaji yang sesuai tidak kira sama ada di sektor swasta atau awam.

Kementerian Pendidikan perlu lebih cakna dan peka serta mengambil inisiatif mengatasi isu berbangkit melibatkan kebajikan serta kepentingan mahasiswa.

Ahmad Suffian Mohd Dalizan adalah ketua perhubungan mahasiswa, MPP UniSZA.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.