Dalam perkongsian terdahulu, kita bercakap mengenai penjagaan diet yang sihat dan seimbang, aktif secara fizikal dan perlunya untuk mengurangkan berat badan berlebihan. Kita juga menggalak anda untuk memantau glukosa darah anda di rumah dan memastikan HbA1c anda kurang dari 7.0%.

Dalam rencana ini, kita merangsangkan anda untuk menjaga lemak (“kolesterol”) darah anda dan tekanan darah kerana kedua-dua keadaan ini biasanya terdapat pada orang yang menghidap diabetes.
Kita juga meminta anda berjumpa dengan doktor anda secara berkala (dan jangan sekali-kali terlepas janji temu) supaya pemeriksaan dan ujian dapat dilakukan secara teratur untuk memastikan kawalan diabetes anda berada pada sasaran dan komplikasi dapat dikesan awal supaya rawatan berkesan dapat dimulakan.
Anda juga mesti mengambil ubat anda seperti yang ditetapkan (dan tidak mengubah atau menghenti tanpa nasihat doktor anda) dan menyimpan rekod kemajuan anda.
Pada bahagian terakhir mengenai “Tip menguruskan diabetes dengan baik” ini, kita akan membincangkan sedikit lagi langkah yang kita boleh ambil untuk mengurus diabetes kita sebaik-baiknya:
Dapatkan tidur yang lena
Kajian terkini mencadangkan kekerapan mendapat tidur malam yang lena boleh mengurangkan rintangan insulin, menjadikan sel-sel badan anda lebih sensitif terhadap insulin untuk membantu anda mengawal tahap glukosa darah anda dengan lebih baik.
Anda harus pastikan untuk mendapat sekurang-kurangnya 6 jam tidur yang selesa setiap malam.
Tidak merokok
Penyelidikan menunjukkan, merokok meningkatkan secara ketara risiko anda mengalami komplikasi atau membuat komplikasi diabetes anda menjadi lebih buruk. Ingatkan diri anda juga mengenai banyak lagi manfaat-manfaat lain daripada tidak merokok seperti mengurangkan risiko kanser, serangan jantung dan strok.
Ingat juga jika anda merokok, anda tidak sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga keluarga dan rakan-rakan anda yang menyedut asap rokok anda (“perokok pasif”).
Sekiranya anda seorang perokok, buatlah keputusan untuk berhenti, hari ini jua.
Kurangkan tekanan
Tekanan secara ketara mempengaruhi paras glukosa darah (dan tekanan darah) anda. Orang yang mengalami stres kronik mungkin juga lebih sukar untuk makan secara sihat. Mereka lebih cenderung untuk makan (makanan berkalori tinggi) yang berlemak dan manis, walaupun mereka tidak lapar (“makan sebab emosi”) yang akan membawa kepada peningkatan berat badan, menjadikannya lebih sukar untuk anda mengawal diabetes anda.
Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal atau senaman secara kerap, mendapatkan tidur yang cukup dan mengamalkan kemahiran relaksasi seperti yoga, meditasi dan bersolat boleh membantu. Bincanglah masalah anda dan dapatkan sokongan daripada rakan-rakan, keluarga dan jika perlu, pakar penjagaan kesihatan anda.
Berpengetahuan mengenai diabetes anda
Sebagai seseorang yang mengambil kuasa penuh mengenai kesihatan anda, anda perlu memperkasakan diri anda dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai untuk menjaga diabetes anda, dan apa-apa keadaan yang berkaitan (seperti tekanan darah tinggi atau tahap lemak (“kolesterol”) darah yang tidak normal.
Anda boleh mencapai ini dengan melalui rundingan kesihatan, seminar atau bengkel kesihatan yang dijalankan oleh organisasi tempatan yang khusus untuk diabetes dan keadaan yang berkaitan. Anda juga boleh mendapatkan maklumat dari majalah-majalah dan penulisan dalam media massa bereputasi. Melalui telefon pintar atau komputer anda, anda juga boleh mengakses laman web yang berwibawa yang didedikasikan untuk pengurusan diabetes anda yang betul.
Anda boleh mencapai ini melalui kehadiran secara kerap pada ceramah dan seminar atau bengkel yang dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan tempatan khusus untuk diabetes dan keadaan-keadaan berkaitan. Anda juga boleh mendapat maklumat dari majalah dan melalui media massa. Dan bagi mereka yang pintar-komputer, anda mungkin mahu melayani laman yang bereputasi khusus untuk pengurusan wajar pradiabetes anda.
Jadual 1 : Institusi yang menyediakan maklumat pendidikan mengenai pengurusan diabetes dan nasihat pemakanan
| Institusi | Laman web |
| Institut Diabetes Negara (NADI) | |
| Diabetes Malaysia (DM) | www.diabetes.org.my |
| Persatuan Dietitians Malaysia (MDA) | www.dietitians.org.my |
| Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) | www.nutriweb.org.my |
| Persatuan Diabetes Amerika (ADA) | www.diabetes.org |
| Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) | www.idf.org |
Satu kata terakhir
Diabetes adalah satu penyakit seumur hidup yang masa kini, tiada rawatan untuk meyembuhnya secara efektif. Akan tetapi diabetes boleh diuruskan dan dikawal agar penghidap boleh hidup dalam keadaan sihat.
Bagaimanapun, ini lebih mudah dikata daripada dilakukannya kerana ia amat sukar untuk menyakinkan mereka yang menghidap diabetes untuk menjaga diri mereka dengan baik.
Salah satu sebabnya ialah kerana kebanyakan mereka yang menghidap diabetes jenis 2 (jenis yang amat lazim- anggaran 95%) tidak mempunyai simptom-simptom yang nyata dan mereka merasakan diri mereka sihat.
Lebih mustahak lagi, komplikasi diabetes yang serius biasanya tidak zahir dengan jelas semasa diabetes mula didiagnos (kecuali jika secara kebetulan berlakunya ketoasidosis diabetik, serangan jantung atau strok, yang mungkin berlaku semasa diabetes mula dikesan).
Sebaliknya, komplikasi-komplikasi melibatkan saluran darah kecil seperti penyakit mata (membawa kepada kebutaan), kerosakan saraf (termasuk ulser dan amputasi kaki) dan penyakit buah pinggang (berakhir dengan kegagalan buah pinggang dan dialisis) atau yang melibati saluran darah besar (serangan jantung, strok dan penyakit arterial peripheral) akan hanya menjadi jelas dalam masa 5-10 tahun dengan keadaan diabetes yang tidak di kawal dengan baik.
Setelah diberitahu anda mempunyai diabetes, tindakan sewajar diambil sebagai satu hukuman mati. Sebaliknya, ambillah ia sebagai satu rahmat dalam samaran dan anggap sebagai satu peringatan tegas untuk anda mula menjaga baik kesihatan diri.
Ini supaya anda boleh mengelakkan komplikasi yang menakutkan seperti strok atau serangan jantung, menjadi buta atau kegagalan buah pinggang atau kehilangan anggota badan anda seperti yang diceritakan di atas.
Kami yakin anda akan mengawal diabetes dan hidup sejahtera untuk sepanjang hayat anda.
Jadual 2 menyediakan sasaran untuk kawalan optimum diabetes; pastikan anda mencapai sasaran ini seberapa mungkin seperti yang disarankan oleh doktor anda. Bincangkan dengan beliau jika anda mempunyai kesukaran untuk mencapai sasaran ini.
Kami berharap tip-tip ini berguna untuk membantu anda menjaga diabetes anda untuk mengelak daripada terjadinya komplikasi yang serius. Insya-Allah .
Jadual 2: Memantau parameter kesihatan anda secara berkala dan memastikan ia berada dalam sasaran yang disyorkan untuk anda.
| Parameter | Sasaran |
| Glukosa darah |
4 – 6 mmol/L (puasa) < 8 mmol/L (2 jam selepas makan utama) |
| HbA1c | < 6.5% atau < 7.0% |
| Tekanan darah | < 130/80 mmHg |
| Kolesterol darah | < 5.2 mmol/L |
| Trigliserida darah | < 1.7 mmol/L |
| LDL-C (“kolesterol buruk”) | < 1.8 mmol/L |
| HDL-C (“kolesterol baik”) |
> 1.02 mmol/L (lelaki) > 1.3 mmol/L (wanita) |
| Indeks Jisim Badan (BMI)* | 18-23 kg/m2 |
| Lilitan pinggang |
< 90 cm (lelaki) < 80 cm (wanita) |
* Berat (kg) / Tinggi (m2); < = kurang daripada; > = lebih daripada
Rencana ini disediakan oleh Emeritus Profesor Datuk Dr Mustaffa Embong Pakar Perubatan Diabetologi, Institut Diabetes Negara (NADI) untuk Bernama
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]