Masyarakat Malaysia sudah terbiasa dengan adanya kunyit sebagai rempah yang digunakan di dalam pelbagai masakan seharian seperti gulai kunyit ataupun sekadar bahan penyedap untuk ayam mahupun ikan goreng.

Rempah yang mempunyai warna kuning terang ini berasal dari benua Asia khususnya Asia Tenggara dan India merupakan bahan tradisional yang mengubati penyakit pada zaman terdahulu.
Kunyit juga mempunyai pelbagai khasiat dan nutrisi bagi sesiapa yang mahu merawat masalah kulit dan rambut. Serlahkan kecantikan semula jadi anda menggunakan kunyit dengan informasi dan cara menangani masalah seharian ini;
1. Merawat jerawat
Kunyit mengandungi antiseptik dan antibakteria yang bertindak sebagai penghalang dan melindungi kulit muka daripada pertumbuhan jerawat. Jerawat mempunyai bakteria dan terjadi apabila folikel rambut tersumbat dengan sel sel kulit mati dan minyak.
Cara penggunaan:
Sediakan mask kunyit untuk muka dengan mencampurkannya bersama serbuk cendana dan jus limau. Campuran dioles ke muka dan biarkan 10 minit yang kemudiannya dibasuh dengan air suam.
2. Meningkatkan keanjalan kulit
Antioksida kunyit membantu memproses sel kulit baru dan membantu anda kelihatan muda remaja dengan meningkatkan keanjalan kulit. Antioksida melindungi kulit daripada tekanan alam sekitar yang boleh menyebabkan kulit kelihatan tua.
Cara penggunaan:
Campurkan serbuk kunyit, serbuk beras, susu mentah dan jus tomato yang kemudiannya dilumurkan ke keseluruhan muka dan leher selama 30 minit. Selepas itu, bersihkan muka dan leher anda menggunakan air suam.
3. Merawat selaran matahari (sunburn)
Selaran matahari berlaku apabila kulit terdedah kepada sinaran matahari terlalu lama. Ia selalunya terjadi kepada kanak-kanak dan warga tua kerana kulit yang lebih sensitif. Selaran matahari kerap berlaku apabila anda melakukan aktiviti di tempat yang tiada lindungan daripada sinaran matahari seperti di pantai dan taman.
Cara penggunaan:
Kunyit boleh merawat selaran matahari kerana ia mempunyai kandungan antiseptik. Campurkan kunyit bersama gel lidah buaya dan letakkan ia di tempat yang mengalami selaran matahari.
4. Merawat rekahan tumit kaki
Rekahan pada tumit kaki boleh terjadi atas beberapa faktor seperti kandungan air yang kurang dalam badan yang mengakibatkan kulit kering, akhirnya keras dan merekah. Faktor berat badan juga salah satu penyumbang kepada rekahan kaki. di samping pemilihan dalam memakai kasut tumit tinggi.
Cara penggunaan:
Bagi merawat rekahan tumit, guna 3 sudu serbuk kunyit bersama beberapa titis minyak kelapa atau minyak jarak dan aplikasikan di tumit kaki. Biarkan selama 10 sehingga 15 minit sebelum anda mandi. Anda perlulah kerap mengamalkan tips ini bagi menghilangkan rekahan dan melembutkan tumit kaki anda.
5. Menjadikan kulit berseri
Kunyit juga boleh digunakan sebagai krim malam yang diaplikasikan di muka sebelum tidur atau majlis penting seperti hari perkahwinan. Bagi anda yang mahu kelihatan berseri dan segar, boleh menggunakan kunyit yang sudah digunakan sejak azali lagi sebagai salah satu bahan dalam mendapatkan kulit yang diimpikan.
Cara penggunaan:
Anda perlu menyediakan kunyit, susu atau yogurt yang dicampur di letakkan di atas muka. Biarkan mask itu selama semalaman dan bersihkan muka anda pada keesokan pagi.
Letakkan secubit serbuk kunyit dan campurkan bersama pelembap (moisturizer) yang perlu di gunakan sebelum bersiap. Untuk keputusan yang lebih memberangsangkan, anda perlu lah mengamalkan rutin ini sekurang-kurangnya 2 kali seminggu pada jangka masa yang lama sebelum anda menghadiri majlis penting.
6. Menghapuskan kelemumur
Kelemumur berlaku apabila pertukaran kulit kepala 2 kali lebih pantas dari kebiasaanya. Jangka masa yang normal untuk pertukaran kulit kepala adalah 28 hari tetapi sesetengah orang hanya memerlukan 11 hari untuk pertukaran kulit kepala mereka . Disebabkan pertukaran kulit kepala yang pantas, kulit lama akan menggelupas maka terhasilnya kelemumur. Kunyit mempunyai nutrisi untuk merawat rambut dan kulit kepala. Rempah ini juga membersihkan kulit kepala dan mengurangkan kelemumur dengan melancarkan kitaran darah di dalam kulit kepala.
Cara penggunaan:
Kunyit boleh digunakan dalam menghapuskan kelemumur dengan mencampurkan ia bersama minyak zaitun dan applikasikan campuran ini di kulit kepala sebelum mencuci rambut. Biarkan campuran di atas kepala selama 15 minit dan bersihkan ia menggunakan syampu.
7. Pewarna rambut semula jadi
Kunyit menjadi salah satu bahan yang boleh dijadikan pewarna rambut semula jadi, ini kerana warnanya yang cerah. Bagaimanapun, rambut yang bewarna hitam sukar untuk di ubah. Kunyit sesuai digunakan bagi mereka yang mempunyai warna rambut yang cerah seperti coklat dan merah. Jika kunyit diaplikasikan secara berlebihan, ia akan menukarkan warna rambut anda kepada kuning terang.
Cara penggunaan:
Dengan mengunakan kunyit yang dicampurkan dengan bahan herba dan bunga yang bewarna kuning seperti calendula dan teh chamomile. Campuran ini kemudiannya didihkkan dan selepas disejukkan, tuangkan ia di atas kepala. Biarkan campuran di atas kepala selama 15 sehingga 20 minit dan basuhkan ia untuk mendapatkan warna rambut yang terang.