Israel serang sasaran milik Iran di Syria

Israel serang sasaran milik Iran di Syria

Saksi di Damsyik berkata, letupan kuat kedengaran di langit malam selama hampir 1 jam.

Israel melancarkan serangan selama beberapa tahun dalam perang Syria bagi menghalang Iran dan sekutunya Hizbullah di Lebanon. (Gambar Reuters)
BEIRUT:
Tentera Israel berkata Isnin bahawa ia menyerang sasaran Quds milik Iran di Syria dan memberi amaran kepada tentera negara itu supaya tidak menyerang wilayah atau tenteranya.

Media rasmi Syria memetik sumber tentera negara itu yang berkata, Israel melancarkan “serangan sengit menggunakan peluru berpandu secara berterusan”, tetapi pertahanan udara Syria memusnahkan kebanyakan “sasaran musuh” itu.

Saksi di Damsyik berkata, letupan kuat kedengaran di langit malam selama hampir 1 jam.

“Kami mula menyerang sasaran Quds Iran di wilayah Syria. Kami mengingatkan tentera Syria supaya tidak menyerang wilayah atau tentera Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Pasukan Quds mengetuai operasi luar negara Pengawal Revolusi Iran.

Serangan itu susulan serangan lintas sempadan Ahad yang menyaksikan Syria berkata, ia menggagalkan serangan udara Israel, sementara Israel berkata, ia memintas satu serangan roket ke atas Bukit Golan.

“Kami mempunyai polisi tetap, iaitu menyerang pertahanan Iran di Syria dan mencederakan pihak yang cuba mencederakan kami,” kata perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum itu.

Tentera Israel berkata, sebuah lokasi sukan musim sejuk popular di Gunung Hermon di Bukit Golan yang dikuasai Israelakan ditutup hari ini, dan menambah keadaan di sepanjang sempadan dengan Syria adalah “rutin”.

Minggu lepas, Netanyahu mengesahkan satu serangan Israel ke atas lokasi yang disifatkannya sebagai simpanan senjata Iran di Syria, di mana Iran memberikan sokongan penting kepada Damsyik.

Beliau memberitahu Kabinetnya bahawa Israel melancarkan “beratus-ratus” serangan selama beberapa tahun dalam perang Syria bagi menghalang Iran dan sekutunya Hizbullah di Lebanon.

Israel yang selalunya mendiamkan serangan terhadap sasaran Iran di sempadan negara itu, mula mendedahkan perkara itu bulan ini. Langkah dilihat menunjukkan keyakinannya terhadap kempen ketenteraan yang dijalankan, walaupun berdepan ketegangan bermusim dengan Rusia, yang menyokong Syria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.