
Seorang pemimpin Pemuda bahagian berkata calonnya tentu seorang “idealist”, berpandangan jauh dan teguh berpegang kepada prinsip Malaysia Baru.
“Pemuda lebih ke depan membicarakan permasalahan rakyat dan lebih cakna dalam isu semasa. Tidak lupa juga kami paling lantang mengkritik sesiapa yang menyalahi prinsip Malaysia Baru,” kata Ketua Penerangan Pemuda PPBM Bandar Tun Razak, Azariq Abas.
Meskipun begitu, Azariq tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap calon Wanita PPBM.
Sebelum ini, Ketua Wanita Datuk Seri Rina Harun berharap PH akan meletakkan calon wanita pada PRK Semenyih yang akan bermula 16 Februari ini.
Rina berkata pertimbangan itu wajar berikutan bilangan pengundi wanita dan lelaki adalah sama rata, selain mempunyai calon yang layak dan berkaliber.
Beliau berkata Wanita PPBM sudah mengemukakan senarai calon untuk dinilai pucuk pimpinan parti.
Timbalan Wanita PPBM Bukit Mertajam, Noormahwati Redzuan percaya calonnya tentu lebih cermat, tegas dan mengenali “rumahnya” (kawasan).
“Jika menjaga rumah, mestilah dia pastikan ia bersih. Ketegasan wanita tiada tolok bandingnya. Jangan dipersoalkan kredibiliti kami jika tidak memberi peluang untuk membuktikannya,” katanya.
Beliau meletakkan calon wanita seiring dengan Malaysia Baru yang mementingkan peranan wanita dalam pembangunan negara.
Pengundi DUN Semenyih akan memilih pada 2 Mac. Ia diadakan berikutan kematian penyandang, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.