
Keju…keju… keju…. di mana-mana pun makanan Malaysia seperti diserang keju.
Sejak kebelakangan ini banyak makanan tempatan yang direvolusi dengan keju, tak kiralah, keju mozarela, parmesan, cheddar atau apa sahaja keju yang terdapat di pasaran.
Makin lama makin ber’cheezy’ makanan Malaysia, dan menjadi kegilaan ramai.
Tak salah jika mengatakan segalanya bermula dengan pisang goreng cheese di mana parutan keju dikumpulkan di atas pisang goreng panas sehingga ia meliputi seluruh makanan tersebut.
Menariknya kombinasi tersebut amat berhasil sehinga terus menjadi ikutan ramai. Dengar khabar, kafe mewah pun sudah menghidangkan pisang goreng cheese sebagai sebahagian daripada hidangan mereka.
Banyak lagi makanan tempatan dan ditambah keju kerana ia memberikan hasil dan rasa di luar jangkaan, kombinasi barat dan Asia atau lebih tepat, Malaysia.
Jadi mari kita lihat 7 makanan yang paling popular selepas ‘dikahwinkan’ dengan keju.
1. Roti canai / Murtabak keju

Orang Malaysia paling kreatif apabila ia berkenaan makanan. Sejak kebanjiran citarasa keju, roti canai dan murtabak antara makanan yang direvolusi dengan keju. Kepingan keju cheddar diatur di dalam doh roti canai yang sudah ditebar dan di masak sekali. Bagi murtabak pula, sama ada di campur dengan inti daging atau diparut di atas murtabak siap. Apapun, bagi kebanyakan penggemar keju, ia antara kombinasi terbaik!
2. Keropok lekor berinti keju

Ingat orang KL sahaja makan keju? Ini dia kreativiti dari Terengganu, di mana keju dimasukkan ke dalam bahan campuran keropok lekor. Jadi apabila digoreng, ia bukan sahaja berasaskan ikan malah ada bibit-bibit keju di dalamnya. Bagaimana agaknya rasa keropok lekor keju ini, kalau anda pernah makan, jangan lupa kongsi pengalaman anda bersama kami!
3. Apam balik keju

Makanan kegemaran ramai yang dimasak menggunakan kekacang hancur, jagung dan gula sebagai bahan inti, kini anda ada pilihan dimasukkan parutan keju bersamanya. Sebenarnya apam balik keju ini boleh didapati di kebanyakan gerai menjual apam balik, cuma bezanya adalah menggunakan helaian keju atau parutan keju. Apapun ia tetapi mengenyangkan selain memberi rasa unik.
4. Bahulu keju

Masih ‘rare’ untuk didapati tetapi, ia sudah ada di pasaran. Belum ramai yang tampil dengan kek bahulu keju kecuali beberapa pihak yang membuatnya dari rumah. Pencarian FMT Ohsem mendapati jualan kek bahulu keju agak terhad tetapi lebih banyak resepi kek bahulu keju yang dikongsi di laman-laman sosial. Menurut resepi tersebut, keju sama ada dimasukkan dalam bahan campuran kek atau kiub diletakkan di tengah-tengah acuan yang dimasukkan campuran kek.
5. Jagung bakar keju

Kelainan ini sangat berbaloi! Sementara membakar jagung, taburkan juga parutan keju diatasnya. Lelehan keju pasti akan memberi rasa unik dan istimewa kepada penggemar keju. Cuma jika anda sedang berdiet atau mengamalkan pemakanan sihat, terpaksa lupalah pasal keju.
6. Siput cairan keju

Sebuah restoran di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor memperkenalkan resipi siput sedut cairan keju yang kelihatan menggiurkan. Menurut laporan Berita Harian, hidangan siput cairan keju di Izi Stesen berperasa manis, sedikit pahit dan lemak, dipalit rasa masam lemon, dan membuatkan siput sedut diadun dengan bancuhan keju sudah cukup membangkit selera. Apapun belum cuba belum tahu!
7. Pisang, durian, cempedak goreng cheese

Sama seperti pisang goreng keju, durian dan cempedak goreng juga ditambah parutan keju. Khabarnya sebuah gerai di Batang Kali, Selangor menjual durian goreng keju ini dan pernah viral di laman sosial. Pemilik gerai, Nur Emyza berkata idea membuat durian goreng tepung keju wujud selepas terdetik untuk membuat makanan kreatif hasil sendiri. Jadi selain pisang dan cempedak, dia memilih menggoreng durian dengan tepung dan ditambah pula dengan parutan keju! Mual atau menarik?
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]