Buku yang tidak digunakan sering kali dibuang begitu sahaja tanpa memikirkan ia sebenarnya boleh dikitar semula ataupun disedekahkan kepada orang yang memerlukan.

Di ibu kota Turki, buku yang dibuang oleh penduduk setempat tidak semestinya akan berakhir menjadi kertas kitar semula atau sampah.
Sebaliknya, sekumpulan pemungut sampah perbandaran memungut buku-buku yang ditinggalkan di kaki lima bersama-sama sampah lain untuk mengitarnya semula sebagai bahan bacaan kepada pembaca baru.
Ekoran itu, mereka mewujudkan perpustakaan yang dibanjiri dengan ribuan hasil karya yang sepatutnya berakhir di tapak perlupusan sampah.
Perpustakaan ini dibuka lebih 7 bulan lalu oleh pemungut sampah dan pengurusnya. Ia ditempatkan di kilang yang tidak lagi beroperasi yang mana selama ini menjadi tempat pekerja berkenaan berkumpul.
Kilang ini sudah ditinggalkan sejak 20 tahun lalu, kini menjadi ruang kakitangan menghabiskan masa rehat mereka dengan membaca lebih 4,750 koleksi buku.
Menurut pengurus tapak kerja, Emirali Urtekin, kewujudan ruang itu hanya bertujuan untuk memberi peluang kepada pekerja dan keluarga mereka untuk meminjam buku sehingga 15 hari tetapi kini ia juga dibuka kepada umum.
Beliau berkata, masih terdapat 1,500 buku lagi yang belum diletakkan di rak kerana semakin banyak buku diselamatkan dan didermakan.
Tiada sebuah buku pun yang akan dilupuskan dengan buku yang tidak lagi dapat digunakan berfungsi sebagai rak buku.
Buku disusun kepada 17 kategori merangkumi novel roman, buku teks ekonomi, cerita ngeri dan sastera kanak-kanak.

Ia beroperasi 24 jam sehari untuk pekerja dan memiliki pustakawan sendiri yang dibayar oleh majlis perbandaran, iaitu Eray Yilmaz, 20.
Eray berkata, sehingga kini sebanyak 147 buku dipinjam oleh ahlinya yang mungkin terus bertambah termasuk 700 pemungut sampah dari daerah Cankaya. Menurut majlis perbandaran, perkhidmatan baharu itu menjadi satu-satunya perpustakaan daerah yang unik dibuka kepada umum
Sementara itu, Malik Ercan, iaitu antara kakitangan dari kalangan orang kurang upaya (OKU) berkata, beliau membawa pulang buku untuk isteri dan anaknya, manakala perpustakaan itu semakin menarik orang ramai.
“Baru-baru ini, saya membawa sepupu saya ke sini yang datang dari Sivas (wilayah Turki tengah). Mereka mendengar berita ini dan mahu melihatnya sendiri.
“Lebih ramai rakan-rakan saya menelefon dan melahirkan hasrat untuk datang berkunjung selepas membaca beritanya,” kata Ercan kepada AFP
Pengurusnya memberitahu, mereka akan mewujudkan perpustakaan bergerak dan mengunjungi sebahagian sekolah di Ankara setiap 15 hari supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai kanak-kanak.
Ia akan membantu sekolah yang tidak mempunyai perpustakaan atau memiliki koleksi buku terhad.
Pelajar turut mendapat manfaat ketika berkunjung daripada persembahan muzik oleh Tin Group yang dianggotai 11 pekerja yang menggunakan bekas sampah dan objek logam.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]