
Kasut tumit tinggi merupakan antara aksesori kesukaan kebanyakan wanita yang mahu tampil elegan dan menarik.
Tidak ketingalam, mereka juga percaya, memakai kasut tumit tinggi memberikan keyakinan luar biasa.
Ramai juga yang tidak mahu menanggalkan kasut tumit tingi termasuk ketika hamil.
Salah seorang daripadanya ialah Duchess of Sussex, Meghan Markle. Pada usia kandungannya sudah mencecah 6 bulan, beliau sering dilihat berjalan memakai kasut tumit tinggi menghadiri acara-acara rasmi.
Bukan sahaja Meghan Markle, malah ramai daripada kalangan kita yang tidak mahu mengalah, masih berkeras memakai kasut tumit tinggi walaupun perut sudah membesar.
Sedangkan kasut tumit tinggi jelas berbahaya untuk wanita hamil.
Menurut pakar perubatan, Dr. Sarah Jarvis, kasut tumit tinggi boleh mengakibatkan tekanan pada perut sekalius memberi kesan kepada bayi.
“Wanita hamil elak memakai kasut tumit tinggi kerana ligamen dalam tubuh sudah cukup tegang untuk beranak,” katanya.
Salah satu ‘kawasan’ yang akan terkesan hasil pemakaian kasut tumit tinggi ialah tulang belakang.
“Urat di bahagian tulang belakang ini cenderung tegang kerana pusat keseimbangan tercabar dengan berat bayi di bahagian hadapan,” tambahnya.
Oleh itu, pemakaian kasut tumit tinggi sewaktu usia kandungan semakin matang boleh membuatkan si ibu yang hamil berisiko mengalami sakit pinggang berganda atau jatuh kerana tidak dapat mengawal berat.
Risiko lain penggunaan kasut tumit tinggi ialah kaki menjadi kejang, bengkak, atau rasa nyeri.
Jadi janganlah terlalu pentingkan fesyen sehingga menyusahkan diri atau bayi dalam kandunan.
Terdapat banyak lagi pilihan kasut yang selesa mesra ibu hamil dan pejabat yang boleh anda gunakan.
Buatlah pilihan yang bijak!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]