Makan pil minda sebagai rutin harian tidak akan menjadikan seseorang itu bijak seperti ahli fizik, Albert Einstein.

Demikian kata doktor popular, Dr Nur Amalina Che Bakri yang menganggap perbuatan para guru menjual produk pil minda sebagai tidak beretika dan perlu dilaporkan kepada pihak berwajib.
Ekoran isu jualan ‘pil minda’ dalam kalangan guru, Dr Amalina memohon agar Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku terbabit.
“Saya dimaklumkan bahawa ada ramai guru yang menjual ‘pil minda’ di sekolah malangnya @maszlee sila ambil maklum. Terima kasih.
“Tolong jangan manipulasi pelajar anda untuk membeli produk sedemikian.
“Buat ibubapa dan para pelajar, kerja keras adalah kunci, diet sihat yang seimbang juga penting dan memakan ‘pil minda’ tidak akan jadikan anda seorang ‘Einstein’ (Albert Einsten),” katanyadalam Twitter, @DrAmalinaBakri.
Posting Dr Amalina mengenai perkara itu menerima respon positif dan di kongsikan sebanyak 3,408 kali selain mendapat 3,045 tanda suka sejak Jumaat lalu.




Gadis kelahiran Kota Bharu, kini bertugas sebagai pakar pelatih surgikal di United Kingdom (UK) mendedahkan pernah ditawarakan bayaran tinggi untuk mempromosikan produk ‘kismis minda’ tetapi beliau menolak tawaran tersebut.
“Selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, saya juga didekati beberapa syarikat Islamik untuk berkerjasama menghasilkan ‘kismis minda’(saya ditawarkan wang yang banyak).
“Saya kata tidak kerana tidak mengambil produk sedemikian,” katanya.
Pada masa sama Dr Amalina turut menasihati ibu bapa supaya tidak terpedaya dengan keberkesanan produk tersebut.
Bagaimanapun beliau menggalakan pengambilan kismis segar sebagai bahan makanan bernutrisi dan bukan yang sudah diproses dan dibotolkan.
Dr Amalina merupakan pakar bedah di London popular di media kerana kejayaannya mendapat keputusan cemerlang 17 A1 dalam SPM beberapa tahun dahulu dan melanjutkan pengajian di beberapa universiti tersohor dunia.
Beliau banyak memberi nasihat dan teguran pedas dalam laman Instagram dan Twitter miliknya berhubung beberapa ikutan atau kepercayaan perubatan yang karut dan tidak disokong secara saintifik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday. com