BFF, program bantu masyarakat Asli sambil pulihara alam

BFF, program bantu masyarakat Asli sambil pulihara alam

Aktiviti utama program BFF adalah penanaman pokok karas sebagai inisiatif memelihara alam semula jadi serta dijadikan sumber pendapatan kepada masyarakat Orang Asli.

Kumpulan Emkay terus aktif dalam projek menggalakkan ekopelancongan, pemulihan dan pemuliharaan hutan hujan bagi memberi manfaat kepada masyarakat pribumi di sekitar Hutan Hujan Belum-Temengor.

Baru-baru ini, Belum Rainforest Resort yang juga anak syarikat Kumpulan Emkay, meneruskan sambutan ulang tahun yang ke-10 dengan menganjurkan program Belum Forest Friends (BFF).

Projek BFF kelolaan Yayasan Emkay dan Pulau Banding Foundation (PBF) itu bertujuan mengajak lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai secara aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar serta mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara hutan hujan demi kepentingan generasi akan datang.

Aktiviti utama program BFF adalah penanaman pokok karas sebagai inisiatif memelihara alam semula jadi serta dijadikan sumber pendapatan kepada masyarakat Orang Asli.

Terdapat kira-kira 300 Orang Asli daripada suku Jahai dan Temiar, tinggal di 20 buah kampung di Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor.

Pegawai Penyelidikan Pulau Banding Rainforest Research Centre, Mohd Syaiful Mohammad berkata, hampir setiap bahagian pokok karas boleh digunakan untuk menghasilkan minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik.

Harga pokok karas yang berusia 7 hingga 10 tahun, boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM20,000 sebatang kerana kesemua bahagian pokok itu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.

“Pokok karas menghasilkan gaharu yang mempunyai nilai tinggi di pasaran dan diharapkan penanaman ini boleh dimanfaatkan oleh Orang Asli pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Royal Belum Resort baru-baru ini.

Sebanyak 1,575 pokok gaharu ditanam di Pulau Banding sejak Program BFF dengan kerjasama Belum Rainforest Resort itu dianjurkan pada tahun lalu.

Penglibatan selebriti berpengaruh

Program BFF turut melibatkan ikon media sosial dan selebriti bagi menyampaikan mesej penjagaan Hutan Belum-Temengor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Emkay , Zainon Kasim berkata, penglibatan personaliti media sosial dan selebriti dapat mempengaruhi orang ramai untuk berkunjung ke Belum-Temengor bagi menikmati keindahan flora dan fauna serta mengenali dengan lebih dekat masyarakat Orang Asli di di kawasan itu.

“Diharapkan penyertaan ikon-ikon ini dapat menguar-uarkan kepada masyarakat untuk berkunjung ke kawasan ini sekali gus membantu meningkatkan ekonomi Orang Asli,” kata Zainon.

Seramai 20 sukarelawan dan 7 selebriti turun padang memberi sokongan kepada program BFF termasuk atlet bowling negara, Shalin Zukilfli, Sharifah Sofia, pengacara Naz Habibur Rahman dan isterinya Sheahnee Iman Lee, jurulatih kesihatan Nana alHaleeq, pengacara Daphne Iking dan Serena C.

Bagi Shalin, program itu mengubah sikap serta persepsi terhadap alam sekitar setelah didedahkan mengenai ancaman terhadap khazanah alam semula jadi.

Katanya, sebagai atlet, beliau sering memakai pakaian seragam harimau Malaya yang menjadi kebanggaannya sewaktu perlawanan tetapi tidak mengetahui tahap kepupusan binatang itu.

“Apabila saya diberitahu hanya terdapat 250 ekor harimau di seluruh Malaysia dan 90 ekor daripadanya berada di sini, ia membuka mata saya bahawa khazanah alam yang menjadi identiti para atlet di luar, semakin terancam,” katanya.

Masih banyak khazanah yang belum diterokai, katanya yang seterusnya menyeru agar orang ramai lebih bertanggungjawab menjaga alam sekitar kerana sumbangan yang kecil mampu memberi impak yang besar kepada alam semula jadi.

Pendidikan Orang Asli

Sejak 2008, Yayasan Emkay turut aktif membantu menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli terutama dalam bidang pendidikan.

Menurut Zainon bantuan pendidikan awal persekolahan yang diberikan kepada kanak-kanak Orang Asli dapat memberi peluang untuk mereka bersaing dengan rakyat Malaysia dan juga tidak mudah terperdaya dengan sesiapa.

Tambahnya, walaupun kebanyakan ibu bapa di situ mempunyai kesedaran betapa pentingnya ilmu, namun, masalah jarak sekolah yang sangat jauh dan kesempitan hidup yang dialami menyukarkan anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Sehubungan itu, Yayasan Emkay membawa guru-guru ke kampung untuk mengajar anak-anak Orang Asli supaya mereka tidak tercicir lebih jauh.

“Kami menubuhkan 4 perpustakaan permainan ‘I-play’ yang menjadi tempat pembelajaran di beberapa kawasan Belum-Temengor untuk mengajar kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah,” kata Zainon.

Kini, Kampung Desa Damai dan Kampung Semelor, di Temengor dan Kampung Sg Tiang serta Kampung Sg Kejar di Belum, mempunyai perpustakaan permainan masing-masing. Purata 25 kanak-kanak dari setiap kampung mengunjungi perpustakaan itu setiap hari dan mendapat manfaat daripadanya.

Yayasan itu juga menyumbangkan sebuah dormitori berdekatan dengan sekolah rendah untuk dijadikan ruang istirahat kaum ibu sewaktu sesi pembelajaran berlangsung.

Zainon berkata, pihaknya masih memerlukan tenaga pengajar yang sanggup bekorban dan konsisten untuk mengajar kerana jika sering bertukar guru, keyakinan kanak-kanak terhadap guru akan berkurangan dan mereka tidak dapat menjalin hubungan yang rapat.

Dengan kehadiran tenaga pengajar di situ, anak-anak masyarakat Orang Asli mampu memperoleh ilmu dan pengetahuan melalui latihan dan kemahiran yang diberikan.

“Walaupun anak-anak masyarakat Orang Asli tertinggal daripada segi pendidikan, ia tidak menjadi penghalang buat mereka untuk menunjukkan minat belajar dan berusaha meningkatkan pendidikan mereka,” katanya.

Tingkatkan ekonomi

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Emkay, Rahmat Ismail berkata, dalam usaha memberi pendidikan kepada anak-anak Orang Asli, pihaknya turut giat membantu meningkatkan ekonomi dengan menyediakan bengkel jahitan bagi melatih kaum ibu menghasilkan produk sendiri seperti baju sekolah, beg, aksesori dan kraftangan.

Jelasnya, pertumbuhan ekonomi masyarakat di situ dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Orang Asli kerana kekangan kewangan menjadi penghalang utama bagi ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

“Ini tahun ke-6 kami memberi latihan menjahit kepada para ibu dengan harapan berbekalkan kemahiran yang dimiliki, mereka boleh berdikari dan suatu hari nanti mampu memberikan pendidikan sempurna kepada anak-anak,” katanya.

Sejak bengkel menjahit diadakan, masyarakat di situ mampu menjana sehingga RM500 sebulan dan jumlah itu meningkatkan ekonomi isi rumah kira-kira 270 penduduk.

Beliau turut menjelaskan, minat terhadap bidang keusahawanan semakin meningkat dalam kalangan penduduk Orang Asli tetapi mereka masih memerlukan bimbingan dan sokongan mengenai pengurusan kewangan, teknik pemasaran dan cara berurusan dengan pelanggan.

“Kami mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kepada masyarakat Orang Asli di sini, melawat perkampungan mereka dan membeli hasil kraf tangan, ataupun menjadi ahli BFF dengan hanya menyumbang sebanyak RM100 sahaja,” kata Rahmat.

“Sumbangan itu akan digunakan untuk penanaman pokok karas atau menderma sepasang pakaian seragam sekolah kepada anak-anak Orang Asli,” tambahnya.

Untuk menjadi ahli BFF atau menyumbang kepada program itu, sila layari www.brainsfeed.org.

TRIVIA

  • Program Belum Forest Friends (BFF) bertujuan untuk mengumpul lebih ramai rakyat Malaysia terlibat secara aktif dalam pemuliharaan hutan hujan.
  • Inisiatif BFF menawarkan 2 pilihan aktiviti kepada ahli:
  • Dengan bayaran minimum RM100, ahli BFF boleh memilih untuk menyokong penanaman pokok gaharu yang diuruskan PBF atau menderma sepasang pakaian seragam sekolah untuk anak Orang Asli di kawasan Hutan Belum-Temengor.
  • Penanaman pokok gaharu akan membantu memelihara pokok yang terancam ini
  • Penajaan pakaian seragam sekolah akan diberikan kepada anak-anak Orang Asli yang memerlukan dan pakaian itu dijahit sendiri oleh kaum ibu di Belum-Temengor.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.