Tenaga Nasional Bhd (TNB) melancarkan iklan televisyen Tahun Baharu Cina 2019 yang menampilkan pertembungan antara 2 generasi sewaktu kemeriahan malam sambutan perayaan tersebut bersama keluarga.

Iklan dalam bentuk filem pendek bertajuk, ‘The ONG-gest hours’, mengisahkan 4 bersaudara berasa bosan tanpa aktiviti selepas tradisi ‘makan besar’ bersama keluarga pada malam Tahun Baharu Cina, lantas mencari helah untuk keluar rumah.
Situasi memuncak apabila generasi lebih berusia termasuk nenek dan bapa saudara turut mencari helah dengan pelbagai taktik bagi menghalang golongan muda ini daripada beredar, sebaliknya, menghabiskan masa lebih lama bersama keluarga di dalam rumah.
Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, berkata, mesej dalam iklan “The ONG-est hours” itu diharap dapat mendorong penonton menghayati kepentingan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Iklan ini turut diharapkan dapat mengingatkan golongan muda agar tidak melupakan institusi kekeluargaan dalam mengejar kejayaan dalam kehidupan,” katanya pada majlis pelancaran iklan tersebut di sini.
Iklan berdurasi 3 minit 40 saat dalam media sosial termasuk di Youtube sudah mula disiarkan dan iklan sama dalam masa lebih singkat akan ditayangkan di stesen televisyen tempatan mulai Sabtu ini.
Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, 5 Feb ini, TNB mempelawa orang ramai melayari www.ongtime.my dan melengkapkan tugasan untuk mengumpul mata dengan 20 individu yang meraih mata tertinggi akan memenangi patung kucing ‘Jero.’