
Doodle hari ini meraikan hidangan rakyat Malaysia yang mudah didapati di mana-mana pada bila-bila masa, Nasi Lemak.
Masakan yang menjadi hidangan kebangsaan Malaysia dan dimakan secara meluas sepanjang tahun juga popular di Singapura dan Thailand dipercayai berasal sebagai sarapan petani di pantai barat Semenanjung Malaysia.
GoogleDoodles dalam laman Youtube menunjukkan resepi asas penyediaan nasi lemak yang dipaparkan dalam bentuk animasi; beras dimasak dengan santan atau berperisa dengan daun pandan dan akar lengkuas, dihidangkan dengan ikan bilis, kacang goreng, hirisan timun, telur rebus, dan sambal turut dipadankan dengan ayam goreng atau rendang daging.
Ia juga mengetengah identiti asal nasi lemak yang dijual di gerai tepi jalan yang mana kemas dibungkus dalam daun pisang atau kertas minyak berwarna perang.
Memetik portal Perpustakaan Kebangsaan Singapura, hidangan nasi lemak pernah diucapkan oleh Richard Olaf Winstedt, seorang pentadbir British seawal tahun 1909. Malah, ia juga dipaparkan dalam satu artikel akhbar pada 1935 menyatakan makanan tersebut boleh didapati di pasar Melayu di Kampung Bahru di Kuala Lumpur.
Di Malaysia, nasi lemak bukan sahaja menjadi sarapan pagi malah di nikmati bila-bila masa termasuk makan tengah hari, bersama minum petang atau sebagai hidangan makan malam.
Selain dipadankan dengan ayam goreng atau daging, ia turut ‘dikahwinkan’ dengan pelbagai jenis hidangan lain mengikut citarasa seperti sambal petai, sambal udang, rendang ayam, otak-otak, kangkung dan sebagainya.
Terkini, ada beberapa tempat yang menjual nasil lemak udang galah berkeju sebagai revolusi terbaru nasi ‘masyarakat Malaysia’ ini.
Hidangan ‘petani’ ini turut mendapat pengiktirafan global apabila makanan ini berjaya menggondol tempat pertama dalam pertandingan berasaskan masakan seperti Master Chef UK.
Masyarakat Malaysia yang mengamalkan pemakanan berasaskan nabati juga memperkenalkan nasi lemak ‘vegetarian’ yang menggunakan format hidangan yang sama cuma, menggantikan sambal ikan bilis dan ikan bilis goreng dengan sambal bawang dan kentang atau tauhu goreng.
Nasi lemak boleh didapati dalam variasi tempatan mengikut negeri atau daerah dan variasi bangsa lain.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]