
Tinggi-tinggi gunung Kinabalu tinggi lagi impian seorang wanita untuk memperkenalkan nasi lemak dari Sabah ke kota London.
Bagi Duzy Noramzamnas Abdul Aziz, 30 dari Penampang, Sabah, beliau tidak mahu berganjak dari keputusannya untuk membuka kedai Nasi Lemak Nek Nong di kota London.
Menurut Harian Metro, impian itu timbul selepas beliau menimba pengalaman mengusahakan Warung Nasi lemak Ben-Seoul di Korea Selatan selain mendapati wujud sambutan daripada rakyat Malaysia yang tinggal di London terhadap makanan Malaysia.
Ekoran itu, Duzy meninggalkan Korea Selatan dengan menutup perniagaan di situ dan mengembangkan sayap dan mencari peluang perniagaan di ibu kota terbesar United Kingdom itu.
“Tidak seperti restoran Malaysia lain di sini (London), hidangan utama saya ialah nasi lemak berlauk panas.
“Ia sama seperti yang saya lakukan di Seoul. Apabila bercakap mengenai perniagaan makanan, wujud pasaran besar di London.
“London adalah bandar yang menghimpunkan pelbagai budaya dan orang dari seluruh dunia berhijrah ke sini serta berkongsi makanan mereka. Itulah yang saya mahu lakukan,” katanya.

Menariknya, lokasi restoran Duzy, Nasi Lemak Nek Nong hanya 5 minit berjalan kaki dari Stesen Paddington dan bersebelahan Bayswater, mula menjadi perhatian pelanggan sejak dibuka awal Januari lalu.
Pelanggan tetapnya termasuk rakyat Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Sama seperti warung di Seoul Duzy mengekalkan keunikan nasi lemaknya dengan hidangan sambal istimewa, ikan bilis, timun, telur dan beberapa lauk tambahan seperti sotong, kupang dan ayam.
Ditanya mengenai nama Nek Nong, Duzy berkata ia diambil sempena nama panggilan ibunya.
“Dalam semua yang saya lakukan ia kerana ibu saya. Dia adalah orang yang mengajar saya untuk memasak dan mewarisi resipinya.
“Saya ingin menghargai ibu di sini dan Alhamdulillah perniagaan itu berkembang,” katanya.
Menurutnya, nasi lemaknya diminati dan diterima masyarakat di London.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]