“Semuanya kerana sikap acuh tak acuh. Itu yang menjadikan tandas kotor dan layanan kurang mesra untuk Orang Kelaianan Upaya (OKU).” Jiran serta sahabat baik saya, Andrew Hong membuat rumusan itu selepas membaca artikel saya mengenai keadaan tandas yang teruk di Malaysia.

Andrew yang juga seorang OKU merasakan rakyat Malaysia tidak mempedulikan nasib orang-orang seperti dirinya. Salah satu isu yang paling menyedihkan ialah ruang letak kereta yang dikhususkan untuk pemandu OKU di tempat-tempat awam. Sudahlah ruang letak kereta sedikit itu pun disalah guna oleh orang yang sempurna tubuh badan! Mereka yang bersikap buruk ini mungkin kurang didikan sivik.
Malaysia mempunyai jumlah penduduk hampir 33 juta termasuk OKU yang ditakrifkan sebagai mereka yang mempunyai kecacatan fizikal, mental, intelektual atau deria jangka panjang.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat kira-kira satu bilion orang OKU di seluruh dunia. Pada 2012 Malaysia mempunyai sekitar 445,006 orang yang berdaftar sebagai OKU. Jumlah ini mungkin besar lagi memandangkan pendaftaran dibuat secara sukarela.
Kerajaan di negara ini melaksanakan pelbagai inisiatif untuk melindungi kepentingan OKU.
Pada 2007, Malaysia mewujudkan Dasar Orang Kurang Upaya bertujuan untuk meningkatkan penglibatan serta sumbangan mereka dalam pertumbuhan negara. Pada 2008, Malaysia menggubal Akta Orang Kurang Upaya dan menandatangani Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya pada tahun yang sama. Ini dimeterai pada 2010 sebagai langkah untuk meningkatkan kebajikan golongan tersebut.
Meskipun kerajaan amat mengambil berat akan kebajikan golongan OKU di negara ini, masih ada beberapa isu yang memerlukan penyelesaian, antaranya stigma sosial, kurang perwakilan di Parlimen dan membuat dasar atau keputusan mengenai perkara berkait dengan OKU. Golongan ini juga berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi akibat kurang akses kepada pendidikan dan jenis kerja yang mereka lakukan.
Di samping itu banyak kekurangan kemudahan untuk OKU di kebanyakan tempat awam seperti kompleks membeli-belah, rumah beribadat, taman perumahan, perhentian bas dan teksi. Kesulitan yang dihadapi golongan OKU mungkin dapat dikurangkan sekiranya ditingkatkan kemudahan meletak kereta, ram untuk akses ke dalam bangunan, laluan lebih luas untuk kerusi roda, tandas untuk OKU dan pengangkutan awam. Malahan panggung wayang juga tidak mengambil kira kepentingan OKU.
Kekurangan sekolah serta tenaga pengajar untuk OKU juga satu masalah, di samping kekurangan peluang pekerjaan untuk mereka mencari nafkah. Jangan lupa OKU juga mempunyai keluarga, rumah dan keperluan lain seperti orang biasa. Kesemuanya ini sedikit sebanyak merugikan kerana OKU juga boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan tenaga pekerja negara sekiranya diberi latihan yang bersesuaian.
Menurut Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) Malaysia, hanya 581 OKU diambil bekerja dalam sektor awam sejak 2008. Bagaimanapun, sektor swasta menunjukkan pencapaian yang lebih memuaskan kerana memberi peluang pekerjaan kepada 17,000 OKU. Ini adalah selaras dengan anggaran kira-kira 10- 20% OKU diangap aktif secara ekonomik yakni mereka bekerja atau melakukan pekerjaan sendiri.
Salah satu aspek penting kehidupan manusia ialah mampu mendapat pekerjaan secara sah. Ia membolehkan seseorang itu berdikari dan bebas hidup bermaruah. Bagaimanapun, kajian mendapati tanggapan “peluang penggajian yang sama rata” untuk OKU bukan keutamaan atau amalan dalam kalangan majikan di Malaysia. Masih ramai rakyat OKU Malaysia menganggur malah yang bekerja cuma memperolehi gaji yang rendah meskipun mereka mempunyai kelayakan akademik.
Untuk memburukkan lagi keadaan, kes diskriminasi (sama ada oleh majikan atau rakan sekerja) masih berleluasa di sebalik wujudnya Akta Orang Kurang Upaya Malaysia. Ini membuktikan Akta tersebut tidak berjaya melindungi rakyat OKU Malaysia daripada diskriminasi dan eklsploitasi. Dicadangkan sama ada Akta itu dipinda atau Malaysia perlu mempunyai Akta Anti-Diskriminasi seperti Akta Diskriminasi OKU 1995 United Kingdom (DDA) dan Akta Anti Diskriminasi Amerika 1990 (ADA).
Mungkin cadangan di bawah ini boleh dilaksanakan untuk melindungi kepentingan OKU:-
- Perlu ada penguatkuasaan kuota jumlah OKU diambil bekerja dalam sektor awam dan swasta dengan peruntukan insentif cukai /rebat untuk majikan.
- CIDB mesti menjamin ada akses untuk memudahkan OKU memasuki semua bangunan dan kemudahan.
- Mesti ada sekurang-kurangnya 3 kerusi di Dewan Rakyat dan Dewan Negara diperuntukkan bagi OKU bagi menjamin perwakilan yang wajar dalam perlaksanaan undang-undang serta dasar untuk kepentingan OKU di negara ini.
- Usaha yang lebih perlu dibuat supaya OKU mendapat layanan sama rata menerusi sistem pendidikan dan anak-anak diajar untuk tidak mendiskriminasi OKU.
- Di samping pendidikan, media cetak, elektronik dan dalam talian perlu memberi lebih banyak pendedahan positif tentang OKU serta menghasilkan filem yang memaparkan kecemerlangan OKU dengan fokus kepada kanak-kanak dan orang dewasa.
- Satu lagi kebimbangan ialah industri perumahan. Kerajaan perlu memberi perhatian kepada perumahan OKU bagi menjamin mereka mendapat layanan sama rata serta peluang seperti orang lain. Seperti dinyatakan dalam Dasar Perumahan Negara, perumahan untuk OKU masih belum mencukupi.
Kajian sebelum ini menunjukkan rumah untuk pengguna berkerusi roda mempunyai pelbagai manfaat seperti pengurangan kos khidmat penjagaan di rumah serta kos pengubahsuaian rumah. Rumah istimewa ini membolehkan OKU muda berdikari dan tinggal sendiri.
Anak-anak yang menggunakan kerusi roda boleh meningkatkan keyakinan dengan suasana rumah yang mesra OKU sementara warga tua yang juga menggunakan kerusi roda dapat mengurangkan kes jatuh atau cedera. Rumah yang mesra orang yang berkerusi roda dapat membantu pemiliknya hidup berdikari dalam melakukan kegiatan harian.
Kecacatan fizikal adalah kumpulan kedua terbesar selepas kehilangan keupayaan untuk belajar di Malaysia. Mereka yang kehilangan keupayaan untuk belajar mungkin berdepan dengan masalah belajar tetapi bukan masalah dalam kehidupan harian seperti menjaga diri sendiri. Sebaliknya, pengguna kerusi roda menghadapi halangan paling banyak, malahan rumah untuk mereka juga mempunyai reka bentuk yang salah.
Tidak keterlaluan untuk saya menyatakan di Malaysia, kita kurang melihat kemudahan untuk mereka yang berkerusi roda mempunyai akses mudah kepada bangunan komersial, bangunan kerajaan atau pengangkutan awam.
OKU turut mempunyai kepentingan dalam masyarakat dan negara ini. Mereka tidak boleh dianggap sebagai anak tiri. Mereka juga jangan hanya dijadikan isu semasa kempen pilihan raya. Mereka perlu dihormati dan dilayan secara bermaruah. Keperluan asas yang mereka dambakan seperti kemudahan meletak kereta, perumahan, tandas yang sesuai, akses ke panggung wang, kemudahan bas serta kereta api yang mengambil kira keadaan mereka dan lebih banyak peluang pelajaran, perlu diwujudkan segera.
Kesejahteraan OKU serta golongan yang kurang bernasib basik akan menjadikan kemajuan negara ini lebih bermakna.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.