‘Siapa semak projek Tanjung Aru?’, soal aktivis alam sekitar

‘Siapa semak projek Tanjung Aru?’, soal aktivis alam sekitar

Wujud kemungkinan pihak yang dilantik untuk menyemak semula projek Tanjung Aru mempunyai kepentingan di dalamnya.

Kerajaan Sabah berkata, projek pembangunan Tanjung Aru akan dikaji semula untuk melihat sama ada rancangan asalnya perlu diubah suai.
KOTA KINABALU:
Seorang aktivis alam sekitar menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri Sabah berhubung cadangannya untuk menimbang semula janji pilihan raya mahu membatalkan projek Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Bercakap kepada FMT, presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Lanash Thanda berkata, beliau bimbang tentang adanya kemungkinan pihak atau pihak-pihak yang dilantik untuk menyemak semula projek itu mempunyai kepentingan di dalamnya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew baru-baru ini bahawa projek tersebut akan dikaji semula untuk melihat sama ada rancangan asalnya perlu diubah suai.

Kenyataan Liew merupakan susulan kenyataan Ketua Menteri, Datu Seri Shafie Apdal pada Julai tahun lepas bahawa kerajaan pimpinannya melihat projek itu “terlalu penting kepada negeri Sabah” untuk dibatalkan.

Lanash Thanda.

Ini menunjukkan janji pilihan raya yang dibuat oleh Parti Warisan Sabah dan juga Pakatan Harapan untuk membatalkan projek itu tidak akan dipenuhi.

Lanash bertanya: “Apakah yang mereka hendak kaji semula? Siapakah yang akan membuat kajian semula? Bolehkah mereka pastikan pihak yang membuat kajian semula tidak mempunyai kepentingan dalam projek berkenaan? Apakah undang-undang akan dipatuhi?

Seorang lagi aktivis alam sekitar, jurucakap pertubuhan Open Space Kota Kinabalu, SM Muthu menggesa kerajaan supaya menghargai nilai warisan Tanjung Aru dan memastikan keputusannya mengenai projek berkenaan bermatlamatkan “kebaikan lebih besar rakyat Sabah”.

Projek berkenaan, yang dijangka menelan kos RM7.1 bilion, dirancang oleh kerajaan sebelum ini dan sepatutnya merupakan milik penuh kerajaan negeri.

Ia bertujuan meningkatkan profil eko-pelancongan Sabah, menarik masuk pelaburan dan mengatasi masalah pencemaran serta hakisan yang dihadapi oleh Tanjung Aru sejak sekian lama.

TAED dijangka ditempatkan di atas tanah tebus guna dan menyediakan kira-kira 4,500 apartmen, 150 villa, 475 rumah teres, 6 hotel dan 60,000 kaki persegi ruang peruncitan.

SM Muthu.

Lanash sering bercakap tentang “potensi bencana alam sekitar” yang disebabkan projek itu, tetapi katanya, masalah kepupusan ruang awam lebih membimbangkan.

Beliau mengkritik rancangan tersebut yang menyifatkan padang golf sebagai ruang awam, dengan berkata, kenyataan itu mengelirukan.

Katanya, penduduk Tanjung Aru dan warga Kota Kinabalu akan lebih gembira untuk melihat pantai Tanjung Aru yang bersih dan persekitarannya diperbaiki.

Bagaimanapun kata beliau, adalah jelas projek tersebut hanya bermanfaat kepada orang asing.

Beliau akur bahawa kajian kesan alam sekitar projek itu telah dilaksanakan, tetapi menuntut laporannya dipaparkan di lamanweb Jabatan Perlindungan Alam Sekitar negeri, yang menurut beliau, kali terakhir dikemas kini pada 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.