Hantar tentera ke Venezuela antara pilihan AS, kata Trump

Nicolas Maduro (tengah). (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata menghantar tentera ke Venezuela antara “pilihan” yang ada dan dia menolak permintaan Presiden Nicolas Maduro yang mahu bertemu.

“Sudah tentu, itu satu lagi pilihan yang sedang dipertimbangkan,” kata Trump dalam temubual CBS yang disiarkan hari ini.

Trump berkata Maduro meminta satu pertemuan diadakan bulan lepas dan dia menolak permintaan pemimpin Venezuela itu.

“Saya menolaknya kerana proses itu sudah terlewat,” katanya menurut petikan temubual CBS.

“Jadi, saya fikir proses itu sekarang ini…tunjuk perasaan yang sangat-sangat besar.”

Puluhan ribu orang membanjiri jalanan menunjuk perasaan terhadap pentadbiran Maduro, sambil memakai bendera Venezuela.

Ketika Maduro ditekan dari dalam dan luar negara supaya berundur, seorang jeneral tentera udara membidasnya dalam satu video yang tersebar pada Sabtu, menyuarakan kesetiaannya kepada Parlimen dan presiden sementara lantikan sendiri, Juan Guaido.