Polis: Kanak-kanak 11 tahun dibunuh akibat dendam, tiada kaitan aktiviti jual organ

Hasil bedah siasat mendapati Siti Masitah yang berketurunan Kemboja meninggal dunia akibat ‘probable head injury’ dan kesan kecederaan pada rahang kiri dan bahagian atas tengkorak sebelah kiri. (Gambar Facebook)

KUANTAN: Dendam terhadap keluarga mangsa dipercayai menjadi punca pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan yang ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Sabtu lalu, kata polis.

Siti Masitah Ibrahim, 11, dipercayai dibunuh dengan kejam pada hari sama dia dilaporkan hilang 30 Januari lalu dan mayatnya ditemui dalam keadaan tragis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, polis menahan seorang lelaki Kemboja berusia 23 tahun pada 31 Januari lalu, selepas menerima laporan kehilangan kanak-kanak berketurunan Kemboja itu.

“Lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri itu merupakan kenalan keluarga mangsa dan tinggal sekampung. Pada awal soal siasat, suspek tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan kanak-kanak itu, tetapi setelah mayat ditemui, suspek mendedahkan penglibatannya berkaitan kehilangan mangsa.

“Hasil pengakuan awal suspek, polis merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Othman berkata, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu meninggal dunia akibat “probable head injury” dan terdapat kesan kecederaan pada rahang kiri dan bahagian atas tengkorak sebelah kiri dipercayai akibat dipukul dengan kayu.

“Saya ingin menafikan penularan berita tidak berasas terdapat kehilangan organ-organ badan mayat berkenaan yang dikaitkan aktiviti penjualan organ manusia. Kami tidak menolak kemungkinan keadaan mayat tidak sempurna itu boleh diakibatkan haiwan liar dan faktor mayat terdedah dalam tempoh masa panjang.”

Beliau turut menolak dakwaan polis lewat mengambil tindakan mengesan kanak-kanak itu kerana tangkapan dan soal siasat terhadap suspek dibuat sejurus menerima laporan kehilangan mangsa pada 11 malam 30 Januari lalu.

Mayat Siti Masitah yang berketurunan Kemboja ditemui kira-kira 4 petang Sabtu lalu oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di kawasan berkenaan.

Semasa ditemui, mayatnya dalam keadaan tertiarap dan hampir reput dengan tangan diiikat dari belakang menyebabkan timbul spekulasi kanak-kanak itu menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Ibunya, Zaleha Abdullah, 35, sebelum ini memaklumkan anaknya kali terakhir dilihat pada 5 petang 30 Januari lalu, ketika meminta RM1 daripadanya untuk ke kedai berhampiraan, tetapi anak ke-3 daripada 4 beradik itu tidak pulang ke rumah selepas itu menyebabkan mereka membuat laporan polis.

Suspek kemudian ditahan kira-kira 2 pagi 31 Januari lalu, di simpang masuk ke Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, selepas ada saksi mendakwa melihat Siti Masitah membonceng motosikal ditunggang lelaki itu pada hari dia dilaporkan hilang.