10 syarikat disiasat ketika kerajaan isytihar perang ke atas buruh paksa

M Kulasegaran bercakap kepada peserta Forum Serantau RBA Mengenai Buruh Paksa 2019 di Pulau Pinang, hari ini.

GEORGE TOWN: Putrajaya mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap buruh paksa kerana tidak mahu berdepan sekatan ke atas barangan dan perkhidmatan Malaysia yang akan menjejaskan ekonomi dalam jangka panjang.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, bagi membuktikan ia serius, kementeriannya mengenakan 42 pertuduhan terhadap sebuah syarikat, termasuk satu dakwaan membabitkan penggunaan buruh paksa. Namun, beliau tidak menamakan syarikat itu.

Katanya, 10 syarikat lain turut disiasat melanggar undang-undang buruh, termasuk penggunaan buruh paksa.

Beliau berkata, kerajaan bercadang menggubal lebih banyak akta untuk memperhebatkan usaha memerangi penggunaan buruh paksa.

Katanya, dengan petanda Amerika Syarikat (AS) mungkin mengharamkan pengimportan produk dihasilkan buruh paksa dari seluruh dunia, terdapat kebimbangan negara maju lain mungkin mengikut jejak Washington.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendefinisikan buruh paksa sebagai kerja atau perkhidmatan yang dituntut daripada individu di bawah ancaman hukuman dan tidak menawarkan diri secara sukarela.

“Jika ada kilang terbabit menggunakan buruh paksa, produk mereka tidak akan diterima pasaran AS. Pegawai kastam mereka akan menghalangnya.

“Sebaik sahaja ini berlaku, ia akan menimbulkan kesan dan banyak negara Barat akan melakukan perkara sama. Boleh anda bayangkan apa akan berlaku jika kita tidak boleh mengeksport barang ke negara lain?

“Kalau polis tidak boleh mengambil tindakan, kita akan bertindak. Kuasa kita (kementerian) merangkumi bidang luas, termasuk perlindungan buat pekerja asing.

“Tiada gunanya kita menggunakan buruh asing untuk menghasilkan barang dan orang tidak membelinya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kulasegaran berkata, Malaysia “membiarkan perbuatan dahsyat” ke atas buruh paksa terlalu lama dan menyaksikan pemerdagangan manusia seperti di Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Akibatnya, beliau berkata, Malaysia kekal di tahap 2 pemerhatian Laporan Tahunan Jabatan Negara AS mengenai Pemerdagangan Orang 2018.

Walaupun banyak syarikat mematuhi undang-undang buruh, katanya, masih ada syarikat yang degil dan menggunakan buruh paksa.

Beliau berkata, dalam memerangi penggunaan buruh paksa, kerajaan akan mengikut amalan terbaik Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab (RBA), gabungan industri terbesar dunia dalam membanteras buruh paksa.

Kulasegaran berkata, kementeriannya juga mempertimbangkan mekanisme kawalan ke atas buruh paksa dan pelanggaran lain akibat kekurangan penguat kuasa untuk memantau amalan itu.

Katanya, menerusi sistem Pematuhan Audit Kebangsaan, syarikat yang mengamalkan kawalan sendiri boleh diperiksa dari semasa ke semasa.

Beliau berikrar akan mengambil tindakan segera terhadap penggunaan buruh paksa dan undang-undang lebih ketat akan diluluskan di Parlimen bulan depan, selepas perbincangan dalam Kabinet.

Katanya, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 dipinda Oktober lalu, manakala 7 lagi akta berkaitan undang-undang buruh perlu dipinda menjelang 2020.

Ia termasuk Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Mengenai isu lain, beliau berkata, satu laporan sebuah jawatankuasa bebas memantau dan menyelia dasar serta pengurusan pekerja asing sudah siap dan diteliti Kabinet sebelum diumumkan.

Sehingga 2016, ILO menganggarkan 40.3 juta orang berada dalam kategori perhambaan moden, termasuk 24.9 juta buruh paksa dan 15.4 juta dalam perkahwinan paksa.

Ini bermakna terdapat 5.4 mangsa perhambaan moden bagi setiap 1,000 orang di seluruh dunia, dengan seorang daripada 4 mangsa ialah kanak-kanak.