
Perasaan terkejut diikuti dengan tepukan gemuruh ketika V Chakaravathy memberitahu Menteri Pendidikan Maszlee Malik keadaan sistem pendidikan negara jatuh serendah-rendahnya dan mutu para pengajar merosot secara drastik.
Para hadirin, yang membayar RM1,000 setiap seorang untuk menyertai forum Pendidikan Malaysia itu juga bersorak apabila ahli akademi Syed Ali Tawfik Al-Attas bertanya mengapa kerajaan tumpu pada “artificial intelligence” atau kecerdasan buatan bila negara kekurangan cerdik pandai.
Syed Ali, bekas ketua pengarah di Institut Kefahaman Islam Malaysia, memberitahu Maszlee bahawa negara perlu terima hakikat dan akui sistem pendidikan dalam keadaan kucar-kacir.
“Tema dialog hari ini ialah menghubungkan jurang, tetapi jurang itu seluas gaung. Sekarang bukan lagi soal menghubungkan sesuatu,” katanya, menyeru sistem pendidikan dirombak sepenuhnya.
Dia berkata Maszlee barangkali tidak faham minda murid-murid kerana kementerian sepatutnya tumpu pada penceritaan dan bahasa sehingga Darjah 5.
Beliau berkata di peringkat akhir pendidikan, para pelajar hanya perlukan 6 atau 7 mata pelajaran sebelum ke universiti.
“Sekarang ini, kita ikut trend – semuanya trend. Dan malangnya semua orang dalam sistem adalah lantikan politik. Itulah masalahnya,” katanya.
Beliau menasihatkan Maszlee singkir lantikan-lantikan politik kerana “mereka berkaitan dengan ideologi, untuk menyemai sesuatu politik”.
Beliau berkata Maszlee selalu bercakap mengenai pembelajaran sepanjang hayat, kecemerlangan dan kejayaan tetapi “semua itu adalah kata-kata politik. Tiada apa yang akan berlaku”.
Ahli akademi itu berkata jika kementerian mahu maju, ia perlu ambil orang-orang yang betul, terutama mereka yang tiada hubungan politik.
Syed Ali geram kerana di Malaysia mana-mana orang yang mengkritik golongan atasan atau pihak berkuasa akan diketepikan. “Mereka tak suka dengar kritikan; semuanya bagus-bagus belaka, semuanya baik-baik. Tetapi keadaannya tidak baik, semuanya rosak,” katanya.
Bagaimanapun, dia memuji Maszlee kerana menjadi menteri pendidikan pertama yang mahu memansuhkan aliran seni dan sains.
Chakaravathy, yang menukar nada prosiding dengan kritikannya, mengadu mengenai mutu para pengajar, mengatakan ia sangat merosot hinggakan ibu bapa terpaksa menghantar ke kelas-kelas tambahan selepas sekolah.
Beliau membidas forum hari ini sebagai “wacana falsafah dan tidak menangani keadaan sebenar di lapangan”.
Mengatakan sistem persekolahan hari ini “sangat, sangat menyedihkan”, dia berkata murid-murid sekolah rendah dibebankan dengan mata pelajaran yang tidak berbaloi.
Beliau berkata murid-murid Darjah 1, 2 dan 3 hanya perlu diajarkan matematik dan bahasa.
“Bila masuk Darjah 4, masukkan mata pelajaran Sejarah dan sistem nilai-nilai hidup. Kalau kamu ajar Sains kepada murid-murid sekolah rendah, mereka akan muntah; murid-murid tak tahu apa yang mereka pelajari.”
Selepas forum itu, Maszlee pada sidang media berkata dia tidak akan melantik ahli-ahli Parlimen sebagai naib canselor di universiti-universiti.
Beliau juga berharap lebih banyak wacana dengan orang awam diadakan di masa depan supaya mereka boleh bekerjasama untuk kebaikan sistem pendidikan dan perpaduan.
Forum sehari itu dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia. Walaupun yuran berharga RM1,000, penyedia pendidikan diberi diskaun 50%.