Masjid di KL perkenal ATM beras pertama bantu asnaf

Golongan asnaf yang layak akan diberikan kad seperti kad ATM yang membolehkan mereka mendapat 2kg beras setiap kali.

KUALA LUMPUR: Masjid Al-Akram di Kampung Datuk Keramat memperkenalkan mesin menyumbang beras yang pertama di negara ini untuk membantu golongan asnaf di sekitar ibu negara.

Ramai penduduk datang untuk menyaksikan sendiri mesin dinamakan ATM beras itu yang ditempatkan bersebelahan pintu masuk masjid terbabit beberapa hari lalu.

Menurut ahli jemaah masjid itu, ATM berkenaan belum beroperasi secara rasmi dan difahamkan ia akan dilancarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) 2 minggu lagi.

“ATM ini satu-satunya yang ada setakat ini. Dengarnya, banyaklah lagi pengurusan masjid sedang berusaha mendapatkannya,” kata seorang ahli jemaah kepada FMT hari ini.

Selain mengagihkan beras kepada asnaf, ATM beras itu juga berperanan sebagai tabung sumbangan yang akan digunakan untuk membeli beras diagihkan kepada golongan asnaf.

Sebaik saja ia beroperasi sepenuhnya, golongan asnaf yang layak akan diberikan kad seperti kad mesin juruwang automatik (ATM) yang membolehkan mereka mendapat 2kg beras setiap kali.

Difahamkan, ATM kira-kira 6 kaki tinggi itu berharga lebih RM10,000 dan banyak digunakan di Indonesia.

ATM beras di Masjid Al-Akram itu disumbangkan penderma yang mengimportnya dari negara jiran itu.

Golongan 8 asnaf yang layak ialah orang fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, berhutang, fisabilillah dan ibnu sabil.

Ketika ini, mereka mendapat bantuan berbentuk wang tunai dan barang keperluan harian.