Usahawan Malaysia raih RM260,000 sebulan jual produk berkait ganja di UK

Mohd Roslan Abdullah (2 dari kanan) bersama Abdul Halim Pauzi (2 dari kiri) menghadiri Persidangan Kanabis anjuran CTA UK di Birmingham, tahun lalu.

PETALING JAYA: Sebuah syarikat milik usahawan Malaysia yang beroperasi di United Kingdom (UK) berjaya meraih keuntungan RM150,000 hingga RM260,000 sebulan dengan menjual produk berkaitan ganja.

Ketua Pegawai Eksekutif CBD Oils Malaysia – Malaya Hemp, Mohd Roslan Abdullah berkata, produk syarikatnya yang beroperasi tidak sampai 3 tahun, berjaya menembusi pasaran Eropah, khususnya UK.

“Kami dapat sokongan penuh kerajaan dan Cannabis Trades Association UK (CTA UK). Ahli persatuan tidak lokek berkongsi ilmu bagaimana untuk ikut prosedur ditetapkan kerajaan UK.

“CTA UK juga berkongsi maklumat, kajian ilmiah dari universiti terkemuka Eropah mengenai kebaikan kanabis dan bekerjasama memperkenalkan produk masing-masing,” katanya menerusi e-mel kepada FMT.

Roslan berkata, walaupun UK membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, namun tindakan tegas tetap diambil terhadap sebarang penyalahgunaan.

“Tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang tanam pokok ganja tanpa lesen masih berjalan seperti biasa. Memproses dan menjual produk berasaskan ganja tanpa lesen dan pemantauan khas pihak kerajaan tetap menjadi satu kesalahan berat.”

Beliau berkata, pengguna minyak ganja untuk tujuan perubatan tidak perlu bimbang akan ketagih kerana ia bertujuan menghentikan pertumbuhan sel kanser.

Katanya, tumbuhan yang dikategorikan dalam Akta Dadah Berbahaya di Malaysia itu turut digunakan untuk merawat penyakit kronik, masalah sistem saraf kronik, kanser cachexia, sawan, glaukoma, HIV/AIDS dan sklerosis.

“Di UK, minyak ganja kaya dengan CBD (cannabidiol) daripada cannabis sativa yang dihasilkan secara sah dan menjadi salah satu makanan tambahan popular dalam kalangan pengguna.”

Roslan berkata, beliau bersama 2 rakan kongsinya, Abdul Halim Pauzi dan Nurul Ain Sahbudin turut berdepan pelbagai halangan dalam memasarkan produk berkaitan ganja.

“Kami diserbu polis UK kerana menyangka kami menjual ganja tidak berdaftar, tetapi setelah berjaya membuktikan dengan dokumen yang kami miliki dan menjelaskan syarikat ini mempunyai lesen, akhirnya polis memohon maaf.

“Kami juga dihalang mendapatkan bahan mentah ganja dalam kuantiti banyak, sehingga kami tidak dapat memenuhi permintaan tinggi pelanggan. Ganja di Eropah bukan sahaja terhad untuk perubatan, malah untuk industri kecantikan.”

Thailand menjadi negara pertama di rantau Asia meluluskan ganja untuk penggunaan dan penyelidikan. Parlimen Thailand mengundi menyokong pindaan Akta Narkotik 1979 pada Disember lalu.

Malaysia perlu lebih terbuka, berani buat kajian

Roslan berkata, Kementerian Kesihatan perlu berani memulakan kajian baru mengenai keberkesanan minyak ganja.

Mohd Roslan Abdullah bersama Prof Mike Barnes dari Neurological Rehabilitation di Newcastle.

Putrajaya, katanya, perlu bersikap lebih terbuka dengan menjadikan bukti kajian ilmiah luar negara sebagai rujukan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan boleh menghantar penyelidik ke negara yang sudah lama melakukan penyelidikan terhadap penggunaan ganja untuk tujuan perubatan, seperti di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Mereka boleh lakukan kajian secara praktikal dengan melihat sendiri cara penanaman dan pemprosesan minyak ganja bagi tujuan perubatan untuk diaplikasikan di Malaysia dengan kawalan dan pemantauan.

“Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama dengan ahli perubatan bertauliah dan berani memainkan peranan dengan memberi pendidikan secara terbuka kepada rakyat mengenai potensi pokok ganja dalam bidang perubatan, jika diproses dengan kaedah dan dos betul.

“Pendidikan perlu bermula dari Kementerian Kesihatan sendiri, bukan badan bukan kerajaan tidak bertauliah atau mana-mana individu yang mengambil kesempatan menggunakan ganja bagi tujuan rekreasi dan memproses sendiri secara sembunyi.”

Isu mengenai ganja untuk tujuan perubatan timbul, selepas beberapa perbicaraan kes di mahkamah, termasuk kes Amiruddin @ Nadarajan Abdullah yang lebih dikenali sebagai Dr Ganja, kini menghadapi dakwaan mengedar ganja di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Satu lagi kes yang menjadi tumpuan ialah kes Muhammad Lukman Mohamad, 29, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Ogos lalu kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279g ganja mampat dan 1.4kg bahan mengandungi tetrahydrocannabinol atau bahan aktif dalam ganja.

Kes itu menyebabkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta hukuman mati terhadap pesalah menggunakan ganja untuk tujuan perubatan disemak semula.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut menulis surat rayuan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas untuk mendapatkan pengampunan berdasarkan merit kes itu.

Nurul Izzah berkata, ganja semakin diterima di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya dalam rawatan pelbagai penyakit kronik.