Susah nak jumpa Syed Saddiq, persatuan sukan orang kuat kecewa

Sukan orang kuat popular dipertandingkan di peringkat antarabangsa kerana memerlukan atlet yang bukan sahaja bertubuh sasa, tetapi juga kekuatan luar biasa.

SUBANG JAYA: Sebuah persatuan sukan yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kecewa kerana tidak diberi perhatian dan bantuan walaupun negara sudah 9 bulan ditadbir kerajaan baru.

Presiden Persatuan Sukan Orang Kuat Malaysia, Zainurizzaman Moharam berkata, pelbagai kejayaan dicapai atlet mereka sewaktu bertanding bagi mengharumkan nama negara, namun Putrajaya seolah-olah memandang sepi kewujudan sukan berkenaan.

“Atlet yang kita lihat berpotensi, bayar sendiri yuran penyertaan, tambang penerbangan, penginapan dan makan minum sewaktu bertanding di luar negara, (sedangkan) mereka ini bawa nama Malaysia.

“Kami ambil inisiatif sendiri untuk hantar atlet bertanding di luar negara dan kejayaan demi kejayaan sudah kami perolehi. Kami juga pakai duit sendiri. Sebab itu sekarang ini kita hendak dapatkan perhatian KBS.

“Atlet berlatih bersungguh-sungguh dengan modal latihan sendiri bagi memastikan Jalur Gemilang berkibar di luar negara. Saya harap sangat KBS ambil tahu kewujudan sukan ini,” beliau memberitahu FMT.

Presiden Persatuan Sukan Orang Kuat Malaysia, Zainurizzaman Moharam.

Zainurizzaman berkata, antara kejayaan terbaru atlet bawah naungan persatuan itu adalah 1 pingat emas, 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa dalam kejohanan “Siam Strongman Classic” awal bulan ini.

Acara sukan ini, walaupun agak asing dalam negara, antara yang popular dipertandingkan di peringkat antarabangsa, kerana memerlukan seseorang atlet yang bukan sahaja mempunyai tubuh badan yang sasa, tetapi juga kekuatan luar biasa.

Sewaktu bertanding atlet perlu melakukan beberapa rutin disiplin, termasuk kecepatan dan beban yang mampu dibawa.

Zainurizzaman kecewa hasrat mereka untuk bertemu dan berbincang mengenai masa depan dan visi sukan orang kuat dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman belum berhasil.

“Nak jumpa menteri memang susah sejak zaman Khairy Jamaluddin lagi, tapi pada zaman Syed Saddiq ini lebih sukar. Apabila kita jumpa di acara yang dia hadiri, Syed Saddiq kata semua ‘okay’, tetapi hasilnya tidak ada,” katanya.

“Sukan ini boleh janjikan pingat untuk negara. Jika KBS tidak ada bajet untuk berikan kepada persatuan bagi membiayai atlet, tidak mengapa sekadar berikan surat sokongan supaya senang kita cari penajaan daripada pihak korporat,” katanya.

Ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir katanya, atas ihsan dan keprihatian bekas menteri belia dan sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerajaan bersetuju menaja siri jelajah ke seluruh negara bagi memperkenalkan sukan orang kuat.

“Shabery bawa kami ke acara kementeriannya. 3 daripada 11 acara yang dijanjikan sudah kita ikut. Hasrat kita mahu kumpul atlet di setiap negeri. Namun bila tukar kerajaan ia tergendala,” katanya.

Ahmad Zaki Jinlapudin

Sementara itu, setiausaha agung persatuan, Datuk Ahmad Zaki Jinlapudin turut melahirkan rasa tidak puas hatinya kerana KBS masih tidak meluluskan permohonan mewujudkan persatuan di peringkat negeri.

“Pendaftaran di peringkat negeri sejak 2 tahun lalu masih belum lepas lagi. Bayangkan, kita ada persatuan di peringkat Malaysia tetapi tidak ada di peringkat negeri.

“Susah nak adakan acara atau pertandingan di peringkat negeri. Kami perlu gunakan nama gim, nampak sangat tidak profesional,” katanya.

Mereka akur apabila KBS mengkategorikan sukan orang kuat sebagai sukan tidak kompetitif.

Katanya, walaupun masih ramai belum kenal sukan ini, ia mendapat sambutan hangat di Sabah dan Sarawak.

Masyarakat di Sarawak umpamanya menunjukkan keseriusan untuk menceburi sukan berkenaan.

Ahmad Zaki sendiri antara atlet yang berjaya dalam sukan orang kuat. Beliau mendapat tempat kedua bagi kategori di bawah 105kg di Siam Strongman Classic pada 9 Februari lalu.

Pada Januari lalu, Ahmad Zaki berada di kedudukan ke-56 di peringkat dunia.

Ahmad Zaki (kanan sekali) menang tempat kedua Siam Strongman Classic awal tahun ini.

Beliau turut mendapat pingat gangsa dalam acara yang dinaungi pelakon Arnold Schwarzenegger iaitu “The Arnold Classic Asia Multi-Sport Festival” di Hong Kong pada 2016.

Schwarzenegger adalah johan bina badan dunia dari 1968 hingga 1970 dan Mr Olympia dari 1970 hingga 1975 dan pada 1980.

“Saya perlu berlatih sejam setiap hari selama 5 hari dalam seminggu dengan mengangkat beban yang lebih berat daripada badan saya,” katanya.

Ahmad Zaki turut mencipta alat latihan meningkatkan kekuatan dan prestasinya.

“Saya rasa rugi sekiranya sukan ini tidak diberikan perhatian serius. Kalau tidak ada yang minat saya tidak kisah, tetapi sejak penubuhan persatuan pada 2006, sambutan memang menggalakkan,” katanya.

Persatuan tersebut menaungi 297 atlet dari seluruh negara.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau berada di pejabat Majlis Sukan Negara (MSN) setiap Khamis untuk berjumpa semua pihak, termasuk atlet dan persatuan naungan di bawah kementeriannya.

“Saya mempunyai hari terbuka setiap Khamis, ia terbuka kepada semua. Pada masa sama juga, sekurang-kurangnya 2 sesi dialog atau ‘townhall’ setiap minggu.

“Saya sudah pergi ke negeri-negeri untuk bertemu sebanyak mungkin persatuan. Minggu lepas, saya sudah lengkap ke Pantai Timur.”

Pada 1 Februari lalu, Syed Saddiq dilaporkan berkata, kementeriannya mengamalkan dasar pintu terbuka dan pegawainya turut diarah berbuat demikian.

“Kita perlu bertemu banyak pihak atau kumpulan supaya kita dapat memenuhi keperluan dan aspirasi mereka.”