Undi tidak percaya: Dr M tunggu jawapan PAS

Dr Mahathir Mohamad juga mengesahkan Putrajaya akan menubuhkan RCI mengenai dakwaan salah tadbir dalam badan kehakiman.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menunggu jawapan daripada PAS jika terdapat undi tidak percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.

“Saya tunggu dan lihat kalau ada undi tidak percaya. Saya akan tengok sama ada PAS akan sokong saya atau tidak,” katanya ringkas kepada pemberita di Wisma Pertahanan, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian menjawab kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mendakwa 2 parti komponen Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang menyingkirkannya melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata, PAS berikrar menyokong Dr Mahathir dalam pertemuan di Yayasan Al-Bukhary, bersama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana parti itu mendapati ada yang tidak kena dengan cara Pengerusi PH bercakap mengenai sekutu itu.

Terdahulu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menolak spekulasi berhubung komplot untuk menggulingkan Dr Mahathir menerusi undi tidak percaya di Dewan Rakyat oleh parti komponen PH.

Mohamad sebaliknya menyalahkan parti lawan yang dilihat sengaja menyebarkan khabar angin itu untuk menggugat kestabilan dan mengganggu fokus kerajaan PH yang berusaha mensejahterakan hidup rakyat.

Mohamad percaya spekulasi itu direka untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada siasatan dan pendakwaan ke atas pemimpin mereka serta krisis kepimpinan dihadapi parti lawan.

Sementara itu, Dr Mahathir mengesahkan Putrajaya akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan salah tadbir dalam badan kehakiman.

“Kita tubuhkan RCI dan ia terpulang kepada mereka untuk menyiasat mengenai dakwaan (salah urus tadbir) oleh hakim berkenaan. Bagaimanapun kita masih belum tetapkan apa-apa terma dan itu akan ditentukan kemudian,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hamid Sultan Abu Backer memfailkan afidavit mengenai dakwaan salah laku hakim yang tidak dinamakan.

Dokumen tersebut dibuat bagi menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo ke mahkamah, memohon Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum diisytiharkan gagal dalam menjalankan tugas apabila gagal menyempurnakan siasatan terhadap 2 kes campurtangan badan kehakiman.

Satu daripada kes itu adalah kes hasutan terhadap bapa Sangeet, Karpal Singh, sementara satu lagi kes membabitkan Hamid, yang mendakwa beliau ditegur seorang hakim atasan kerana membuat penghakiman berbeza dalam kes penukaran agama 3 anak M Indira Gandhi.

Hamid juga menggesa RCI ditubuhkan dalam afidavitnya. Beliau juga berkata gesaan menubuhkan RCI itu dibuat atas permintaan Sangeet, dan dia berbuat demikian mengikut sumpah jawatannya iaitu menegakkan Perlembagaan Persekutuan