
Penganalisis politik Arnold Puyok mengalu-alukan rancangan 2 parti itu mahu bekerjasama mengenai MA63, tetapi berkata, GPS dan PBS perlu menjelaskan fokus dan matlamat mereka.
Pensyarah dari Universiti Malaysia Sarawak itu berkata, langkah mendekati golongan muda di Sabah dan Sarawak merupakan langkah permulaan yang baik.
“Bagimanapun mendidik mereka mengenai sejarah dan kepentingan MA63 semata-mata tidak mencukupi.

“Mereka mesti mengaitkannya dengan isu praktikal yang memberi kesan ke atas kesejahteraan hidup seperti peluang pekerjaan dan bagaimana mereka mahu memanfaatkan bakat yang ada,” katanya kepada FMT.
Minggu lepas, pemimpin GPS dan PBS bersetuju membentuk perkongsian politik bagi memperjuangkan isu kepentingan bersama, terutamanya usaha memulihkan hak mereka di bawah MA63.
Dalam satu pertemuan yang dihadiri pengerusi GPS dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dan presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili, mereka bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama untuk mengkaji semula MA63.
Ongkili berkata, jawatankuasa berkenaan akan mendekati golongan muda di 2 negeri itu dengan mengadakan seminar dan bengkel.