Badan pelancongan tolak angka dakwa kemasukan pelancong Singapura merosot

Kerajaan perlu mengemas kini undang-undang supaya selari dengan trend kembara dan pelancongan terbaru. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah persatuan pelancongan yang berpangkalan di Johor mempersoalkan statistik menunjukkan kemerosotan kemasukan pelancong dari Singapura dengan berkata, pertumbuhan pesat pusat membeli belah, hotel dan Airbnb di Johor dan Melaka menggambarkan keadaan sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Johor, Jimmy Leong berkata, tempat-tempat itu menjadi destinasi rakyat Singapura yang datang ke negeri terbabit.

Baru-baru ini akhbar bisnes, The Edge melaporkan berlaku kemerosotan tahun-ke-tahun dalam kemasukan pelancong dari republik itu dari 12.4 juta pada 2017 ke 10.6 juta pada 2018.

Ketua pengarah Tourism Malaysia, Musa Yusof menyebut beberapa faktor yang menyumbang kepada kemerosotan itu, termasuk isu lalu lintas di Tambak Johor dan selera rakyat Singapura untuk mencari pengalaman baru dan berlainan.

Leong berkata, trend pelancong Singapura yang masuk ke Malaysia telah berubah.

Katanya semakin ramai dalam kalangan mereka yang masuk sebagai pelancong bebas dan independen (FIT).

“Mereka tidak lagi datang secara berkumpulan atau lawatan yang disusun, tetapi sebagai pengembara independen.

“Teknologi telah memudahkan untuk menempah bilik melalui Airbnb atau bergerak dengan menggunakan Grab, jadi mereka lebih bebas,” katanya kepada FMT.

Leong juga mempersoalkan mekanisme yang digunakan untuk mengira jumlah pelancong Singapura.

“Bila anda masuk melalui Tambak Johor, anda tidak dikehendaki menyatakan tujuan kemasukan. Walaupun anda boleh menyebut jumlah rakyat Singapura yang masuk, tetapi anda tidak tidak tahu tujuan mereka ke sini,” katanya.

Beliau berkata, data itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa memahami keperluan pelancongan dengan lebih baik.

Katanya, kerajaan perlu mengemas kini undang-undang supaya selari dengan trend kembara dan pelancongan terbaru yang menyaksikan lebih ramai pelawat merupakan FIT, berbanding kumpulan lawatan.

“Dulu mereka perlu diiringi pemandu pelancong, tetapi sekarang tidak lagi. Di jalan raya kita boleh lihat banyak kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih yang digunakan untuk membawa pelancong bersiar-siar.”

Kata beliau, ini salah kerana individu tidak dibenarkan menjalankan khidmat pelancongan dengan menggunakan kenderaan persendirian kerana terdapat keperluan pematuhan undang-undang berkaitan insurans dan lesen.

“Kita perlukan peraturan baru, sama seperi kita terima Grab. Jika tidak ada peraturan, mereka akan beroperasi di luar batas undang-undang,” katanya.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) Tan Kok Liang, mempunyai pandangan berbeza tentang kemasukan pelancong dari Singapura dengan berkata, kemerosoton itu menunjukkan angka pelawat ulangan yang lebih kecil.

Tan berkata, faktor penyumbang kepada keadaan ini termasuklah tidak banyak tarikan baru, persepsi bahawa Malaysia tidak selamat dan kesesakan lalu lintas hujung minggu sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Beliau berkata, Jepun dan Korea menarik lebih ramai pelancong dari Singapura tahun lepas berikutan pertambahan minat kepada program televisyen yang berasal dari 2 negara itu, perhubungan lebih baik ke bahagian lain Jepun seperti Hokkaido dan Okinawa, selain harga pakej pelancongan yang lebih murah.

Di rantau ini katanya, Thailand melaksanakan kempen bagi menarik pelancong dari republik itu dengan menawarkan baucar membeli-belah.

“Pesaing kita nampaknya semakin baik,” katanya.

Tan berkata, operator koc juga merungut bahawa tidak semua kaunter imigresen dibuka di sempadan antarabangsa negara ini, lalu menyebabkan masa menunggu yang lebih lama.

“Saya cadangkan kita wujudkan laluan khas untuk operator koc bagi memastikan akses yang lebih cepat dan lancar,” katanya.

Beliau juga berkata, wujud kekurangan produk pelancongan baru dan Malaysia hanya menawarkan kalendar pelancongan yang sama “tahun demi tahun.”

“Saya cadangkan kita hidupkan semula acara tradisi seperti Kiulu 4M Challenge di Sabah atau pengembaraan pengalaman yang memang diminati dan dicari-cari oleh para pelancong,” katanya.

Pengembaraan pengalaman membolehkan pelawat “mengalami” sesuatu tempat melalui sejarah, penduduk, budaya, makanan dan alam sekitarnya.