Usir duta Jerman, Venezuela tolak cadangan EU

Usir duta Jerman, Venezuela tolak cadangan EU

Duta Jerman, Daniel Martin Kriener diisytiharkan sebagai persona non grata kerana didakwa cuba campur urusan pentadbiran negara.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari ketika Nicolas Maduro mengangkat sumpah sebagai presiden untuk penggal ke-2, yang menyaksikan majlis itu diboikot pembangkang. (Gambar Bernama)
CARACAS:
Venezuela pada Khamis menolak cadangan Kesatuan Eropah (EU) yang mahu negara itu menimbangkan semula keputusannya mengusir duta Jerman, lapor agensi berita Xinhua.

“Venezuela berharap EU sedar dan tidak mencampuri urusan dalaman kita, tindakan kesatuan itu jelas memcerminkan ia cuma menggunakan strategi serangan yang sama dengan Washington dan menyokong tindakan melampau serta tidak berpelembagaan pembangkang,” kata Menteri Luar Negeri Venezuela, Jorge Arreaza.

Pada Rabu, Venezuela mengisytiharkan duta besar Jerman, Daniel Martin Kriener sebagai persona non grata kerana didakwa cuba mencampuri urusan pentadbiran negara dan diberikan tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara itu.

Kriener antara beberapa duta besar negara lain yang dilihat berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Juan Guaido, selepas pemimpin pembangkang itu melawat beberapa negara Amerika Latin yang menyokongnya.

“Kami kecewa dengan tindakan Venezuela mengusir duta terbabit dalam keadaan politik yang tegang dan kompleks,” kata jurucakap dasar luar EU, Mica Kocijancic pada Khamis.

Venezuela dibelenggu protes sejak 10 Januari lalu, ketika Maduro mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden untuk penggal kedua, menyaksikan majlis itu diboikot pembangkang.

Ketegangan tercetus apabila Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden 23 Januari lalu, disokong AS dan kebanyakan negara Eropah serta Amerika Latin.

Turki, Rusia, Iran, Cuba, China dan Bolivia pula menyokong Maduro dan negara itu berikrar memutuskan semua hubungan diplomatik dengan AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.