Tarik balik kenyataan jika bersama bukan Islam, Guan Eng beritahu PAS

Tarik balik kenyataan jika bersama bukan Islam, Guan Eng beritahu PAS

Lim Guan Eng berkata PAS boleh memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengatakan orang bukan Islam tidak patut dilantik sebagai menteri.

PETALING JAYA: Lim Guan Eng menggesa PAS menarik balik kenyataan berhubung pelantikan orang-orang bukan Islam ke jawatan-jawatan penting kerajaan, selepas PAS mengisytiharkan ia bersama masyarakat bukan Islam.

Setiausaha agung DAP itu berkata PAS boleh menyisihkan imej pelampau dengan memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengatakan orang bukan Islam tidak patut dilantik sebagai menteri dan dakwaan mengatakan orang bukan Islam menguasai Putrajaya.

“Sekiranya PAS tidak sanggup berbuat demikian, bagaimana PAS boleh salahkan orang bukan Islam dan orang bukan Melayu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak berasa terancam apabila hak-hak asas dalam Perlembagaan Persekutuan, yang tidak pernah dipersoalkan sebelum ini, kini secara terbuka diserang oleh PAS dan Umno?” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata buat pertama kali, gandingan PAS dan Umno juga mempersoalkan sumbangan kepada sekolah-sekolah aliran.

Lim merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Iskandar Samad, di mana beliau menyangkal dakwaan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kerjasama Umno-PAS membentuk kerajaan.

Iskandar juga berjaga PAS mendapat sokongan orang bukan Islam dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS dan bersama mereka membangunkan kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Lim bagaimanapun berkata penglibatan orang bukan Islam dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu adalah minimum atau tiada.

“Walaupun PAS suka berpura-pura bahawa terdapat penglibatan orang bukan Islam dalam kerajaan Kelantan dan Terengganu, tidak ada orang bukan Islam dan bukan Melayu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mahu kerajaan persekutuan diperintah seperti kedua-dua negeri itu,” katanya.

Lim turut mengucapkan tahniah kepada PAS kerana berjaya merekrut MCA dan MIC untuk menyokong pendiriannya, walaupun “MCA secara terbuka mempersoalkan keputusan saya meluluskan pembiayaan sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz”.

Sebelum ini, pemimpin PAS dilaporkan resah dengan pelantikan Liew Vui Keong sebagai menteri di jabatan perdana menteri, Tommy Thomas sebagai peguam negara dan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, mempersoalkan apakah masih ada harapan rakyat, khususnya umat Islam, untuk melihat masa depan Islam terus terbela, khasnya dalam hal melibatkan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.