Kami ‘buang duit’ selama 9 tahun, kata Majlis Agama Pulau Pinang

Kami ‘buang duit’ selama 9 tahun, kata Majlis Agama Pulau Pinang

MAINPP membayar RM500 sebulan sebagai elaun sewa kepada keluarga yang telah keluar, menyebabkan ia menanggung perbelanjaan lebih RM3 juta setakat ini.

Presiden MAINPP, Abdul Malik Abul Kassim berkata, 400 keluarga sepatutnya sudah boleh ditempatkan di rumah baru sekiranya penghuni tanah wakaf Abdul Cauder keluar lebih awal.
GEORGE TOWN:
Pihak berkuasa agama Pulau Pinang hari ini berkata, ia terpaksa “membuang duit” sejak 2010 berikutan keengganan beberapa keluarga mengosongkan satu tanah wakaf di Butterworth.

Presiden Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) Abdul Malik Abul Kassim berkata, 32 daripada 46 keluarga dari Wakaf Abdul Cauder mengosongkan tanah itu secara sukarela apabila diberitahu rumah mereka akan dirobohkan dan digantikan dengan apartmen berukuran 1,000 kaki persegi.

Bagaimanapun kata beliau, baki keluarga lain tidak mahu berpindah, sekali gus menangguhkan pembinaan apartmen yang sepatutnya siap pada 2014.

Majlis terpaksa membayar RM500 sebulan sebagai elaun sewa kepada keluarga yang telah keluar, menyebabkan ia menanggung perbelanjaan lebih RM3 juta setakat ini, termasuk kos guaman.

“Setiap perintah mahkamah yang kami perolehi untuk mendapatkan milikan kosong memakan kos sebanyak RM80,000,” katanya, dengan menambah mereka telah memperoleh 3 perintah sedemikian hingga sekarang.

“Sekiranya keluarga yang masih ada itu keluar secara sukarela, apartmen tersebut boleh dibina lebih murah dan menempatkan kira-kira 400 keluarga yang layak seawal tahun 2014,” katanya pada satu sidang media di Menara JKP, di sini.

MAINPP bercadang membina sebuah apartmen kos rendah-sederhana 470 unit setinggi 22 tingkat di tanah seluas 2.7 ekar itu. Jabatan Waqaf, Zakat dan Haji atau Jawhar memperuntukkan RM50 juta untuk projek itu sejak 2010.

Malik berkata, 46 keluarga itu akan diberikan unit rumah berukuran 1,000 kaki persegi, sementara unit lain disewakan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Penghuni berkenaan membayar sewa antara RM2 ke RM30 kepada majlis selama ini.

Malik berkata, situasi di tanah wakaf itu kini bertambah baik berikutan insiden provokasi terhadap polis dan bailif oleh kumpulan pendesak tertentu yang disifatkannya sengaja “mengapi-apikan penduduk yang diusir supaya melawan”.

“Kami berikan mereka tawaran yang paling baik di Malaysia, walaupun pelbagai isu dibangkitkan,” katanya.

Berdasarkan tawaran tersebut, setiap penghuni diberikan elaun perpindahan sebanyak RM4,000. Apabila berpindah ke apartmen 1,000 kaki persegi itu, mereka akan diberikan tambahan RM3,000 lagi.

Malik berkata, rumah terakhir yang akan dirobohkan diberikan notis milikan kosong oleh mahkamah hari ini. Beliau berharap semuanya dapat diselesaikan dalam 2 hari lagi.

Wakaf Abdul Cauder menjadi berita hangat apabila seorang anggota polis patah kaki dalam pergelutan dengan 5 orang lain yang cuba menghalang sebuah rumah daripada dirobohkan, Khamis lepas.

Ketua polis Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, 5 orang tersebut, berserta 6 yang lain ditahan kerana menghalang kerja-kerja perobohan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.