Tragedi Christchurch: NZ akan ubah undang-undang senjata api

Tragedi Christchurch: NZ akan ubah undang-undang senjata api

Langkah itu susulan insiden serangan bersenjata di 2 masjid di bandar kedua terbesar, Christchurch di mana 5 senjata ditemui daripada suspek, 2 daripadanya separa automatik.

Jacinda Ardern mengulangi keputusan bahawa undang-undang senjata New Zealand akan diubah selepas tragedi berdarah di Christchurch. (Gambar Reuters)
WELLINGTON:
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengulangi keputusan undang-undang senjata negara itu akan diubah, lapor agensi berita Xinhua pada Sabtu.

Langkah itu susulan insiden serangan bersenjata di 2 masjid di bandar kedua terbesar, Christchurch. Lima senjata ditemui, 2 daripadanya separa automatik.

Difahamkan penyerang mempunyai lesen senjata yang sah.

“Kita akan ubah undang-undang senjata,” ujarnya.

Setakat ini 3 suspek ditahan dan semua warga Australia. Ketiga-tiga suspek itu tiada dalam senarai dikehendaki kerajaan New Zealand atau Australia.

Seorang suspek lelaki dikenali Brenton Tarrant, 28, akan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Christchurch pada Sabtu pagi atas dakwaan membunuh.

Dalam perkembangan berkaitan Datuk Bandar Christchurch, Lianne Dalziel mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Serangan terhadap komuniti Islam bermakna ia juga serangan terhadap kami di Christchurch dan New Zealand,” kata Dalziel.

Semua acara rasmi di seluruh negara dibatalkan.

Sekurang-kurangnya 49 mangsa tidak berdosa maut dalam kejadian pada Jumaat itu manakala 48 lagi cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.