Pembersihan Sg Kim Kim 1.5km selesai

Pembersihan Sg Kim Kim 1.5km selesai

Bagaimanapun, pemantauan terus dilakukan hari ini bagi meneliti sebarang langkah yang boleh dilakukan.

Proses pembersihan Sungai Kim Kim sepanjang 1.5km dimulakan sejak Rabu lepas. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Proses pembersihan sepanjang 1.5km Sungai Kim Kim yang dimulakan sejak Rabu lepas, ekoran pembuangan sisa kimia, sudah selesai hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata bagaimanapun, pemantauan terus dilakukan hari ini bagi meneliti sebarang langkah yang boleh dilakukan.

“Sungai Kim Kim sejauh 1.5km yang tercemar sudah dibersihkan tetapi hari ini, kita mahu tengok apa-apa lagi yang kita boleh ‘touch up’.

“Hari ini, kita boleh kata ia adalah hari pemantauan. Selepas pantau, barulah kita boleh tengok apa langkah seterusnya yang boleh dibuat,” katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana yang dibuka di Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Menara Aqabah, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mohammad Ezanni Mat Salleh.

Yeo berkata, seramai 30 pasukan melibatkan anggota JAS dan Jabatan Kimia digerakkan ke 30 sekolah di sekitar kawasan terjejas, hari ini, bagi memantau kualiti udara dengan menggunakan alat pengesan gas.

Beliau berkata semua 30 sekolah itu jaraknya 3 hingga 9km dari Sungai Kim Kim. “Sebelum ini kita sudah buat (memantau kualiti udara) di tempat berbeza-beza… dan didapati kualiti adalah tahap selamat.

“Tetapi, liputan kita hari ini akan menjadi besar kerana pembersihan sungai sudah pun siap,” katanya dengan menambah hasil laporan penuh kualiti udara tersebut akan didedahkan esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.