Suspek serangan pengganas di New Zealand pernah lawat Greece, kata polis

Suspek serangan pengganas di New Zealand pernah lawat Greece, kata polis

Suspek turut melawat Bucharest, Romania dari Kaherah, Mesir melalui Athens dan kembali ke Kaherah.

Serangan pengganas ke atas 2 masjid di New Zealand Jumaat lalu yang mengorbankan 50 nyawa mengejutkan seluruh dunia. (Gambar AFP)
ATHENS:
Suspek serangan pengganas yang mengorbankan 50 nyawa di New Zealand Jumaat lalu, dilaporkan pernah melawat beberapa negeri di Greece pada 2016, demikian menurut agensi berita Greece AMNA pada Ahad.

Pihak berkuasa Greece mengesahkan laporan media tempatan yang mengatakan suspek Brenton Tarrant, 28, warga Australia pernah berada di negara itu kira-kira 2 minggu, lapor agensi berita Xinhua.

Tarrant tiba di Athens dari Istanbul, Turki pada 20 Mac 2016 dan mengunjungi kota pelabuhan Heraklion di pulau Crete dan pulau Santorini di Laut Aegea.

Suspek turut melawat Bucharest, Romania dari Kaherah, Mesir melalui Athens dan kembali ke Kaherah.

Polis negara itu sedang menyiasat motif suspek melawat Greece.

Terdapat beberapa perkataan dalam bahasa Greek tertulis pada senjata api yang digunakan dalam serangan itu, antaranya ialah “Turkofagos” bermaksud “Turk eater”. Ia adalah nama gelaran kepada Nikitaras, seorang pemimpin semasa perang di Greece melawan pemerintahan Uthmaniyyah pada abad ke-19.

Suspek turut menulis nama pemimpin tentera Eropah yang terlibat dalam peperangan melawan Empayar Islam Uthmaniyyah pada abad ke-16 dan ke-17.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.