Nelayan jumpa mayat bayi dalam beg galas tengah sungai

Beg galas berwarna biru yang mengandungi mayat bayi lelaki dihanyutkan di tengah Sungai Beris Tok Ku, Penarik. (Gambar Facebook)

PERMAISURI: Dua nelayan terperanjat besar apabila menemui mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat di dalam sebuah beg galas yang dihanyutkan di tengah Sungai Beris Tok Ku, Penarik, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Zulkifli Mat Deris berkata nelayan berkenaan memberitahu pada mulanya mereka ternampak beg galas berwana biru yang timbul di tengah sungai itu semasa mereka hendak memasang bubu pada kira-kira pukul 5.00 petang.

Beliau berkata beg itu lalu diambil dan diletakkan di dalam perahu untuk diperiksa.

“Apabila beg galas dibuka, mereka terkejut besar apabila mendapati ada mayat bayi di dalamnya. Mereka kemudianya membawa mayat itu ke jeti dan menghubungi polis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

Zulkifli berkata mayat itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut, dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau seterusnya memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu untuk tampil membantu siasatan pihak polis.