Nurul Izzah letak jawatan bukan perkara baru, kata Zuraida

Nurul Izzah letak jawatan bukan perkara baru, kata Zuraida

Nurul Izzah Anwar sebelum ini melepaskan jawatan dalam Jawatankuasa TVET, naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang.

Zuraida Kamaruddin berkata perbezaan pandangan yang ada dalam kalangan pucuk pimpinan PH tidak membuktikan terdapat perpecahan dalam parti itu.
KUALA LUMPUR:
Naib Presiden PKR berkata tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bukanlah perkara baru.

Zuraida Kamaruddin berkata, ini bukanlah kali pertama Nurul Izzah meletakkan jawatan, memandangkan puteri reformasi itu melepaskan jawatan dalam parti dan beberapa jawatan lain sebelum ini.

“Sebabnya dia sebelum ini turut melepaskan jawatannya dalam Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET),” katanya.

Pada 17 Disember tahun lalu, Nurul Izzah juga melepaskan semua jawatannya dalam PKR termasuk jawatan naib presiden dan pengerusi PKR Pulau Pinang.

Terbaru, susulan tidak berpuas hati dengan isu membabitkan kepimpinan dalam PAC, Nurul Izzah melepaskan kedudukannnya sebagai ahli jawatankuasa berkenaan.

Zuraida bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat perbezaan pandangan yang ada dalam kalangan pucuk pimpinan parti membuktikan terdapat perpecahan dalam parti.

“Saya tidak berkata demikian kerana kita meraikan perbezaan pandangan. Semua orang boleh bercakap dan terpulang kepada presiden untuk melihat perkara berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, Nurul Izzah dalam temubual dengan Straits Times mengakui “patah hati” dengan perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Nurul Izzah juga tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan penyertaan bekas ahli Parlimen Umno dalam Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan lain, Zuraida yang juga menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mencadangkan satu dasar baru, iaitu rumah mampu milik yang dibeli dari kementerian perlu dikembalikan semula kepada kementerian sekiranya pemilik asal berhasrat untuk menjualnya.

“Rumah bawah KPKT yang hendak dijual perlu dikembalikan semula pada KPKT. Namun peraturan itu kita tengah perhalusi, kalau rumah yang dibina pada 2019, ia akan siap 3 setengah tahun lagi.

“Iya hanya rumah yang dibina pada 2019, bawah dasar rumah mampu milik yang baru ini. Yang lama itu saya tidak boleh buat apa-apa, namun kita tengah kaji untuk selamatkan sebanyak mungkin,” katanya.

Jelas Zuraida, antara tujuan ia dilakukan adalah untuk mengawal harga rumah bagi memastikan pihak yang tidak mampu membeli rumah berkenaan, masih dapat membelinya dengan kadar yang berpatutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.