NGO persoal status ‘wilayah’ untuk Sabah, Sarawak

NGO persoal status ‘wilayah’ untuk Sabah, Sarawak

Perlu ada konsensus dalam kalangan rakyat Sarawak dan Sabah sebelum pindaan Perlembagaan yang memberi kesan ke atas masa depan mereka dibuat.

Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak, Dominique Ng (duduk, 4 dari kiri) dalam sidang media di Kuching, semalam.
KUCHING:
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjanjikan status “wilayah” kepada negeri itu dan Sabah.

Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) yang mempersoalkan takrif perkataan “wilayah” yang digunakan itu berkata, ahli Parlimen kedua-dua negeri itu hendaklah memastikan pindaan tersebut difikirkan dan dibahaskan dengan teliti di Parlimen.

Presidennya, Dominique Ng berkata, mereka tidak harus terlalu teruja dengan status “wilayah” itu.

“Jangan fikir ‘wilayah’ adalah lebih besar daripada ‘negeri’.

“Labuan dan Kuala Lumpur adalah ‘wilayah’ dalam persekutuan Malaysia.

“Wilayah Persekutuan mungkin mempunyai beberapa kerusi Parlimen, tetapi mereka tidak mempunyai autonomi dan dikawal sepenuhnya oleh persekutuan,” katanya pada satu sidang media di sini, semalam.

Ng berkata, ahli Parlimen Sarawak dan Sabah tidak harus mengundi menyokong pindaan yang dicadangkan itu sekiranya ia tidak memenuhi harapan mereka.

“Kita lebih rela menolak pindaan itu daripada membenarkannya membekukan kedudukan kita dalam persekutuan Malaysia.”

Katanya, ahli Parlimen Sarawak tidak diberikan masa yang mencukupi untuk menganalisis dan mendapatkan nasihat perundangan yang sewajarnya sebelum ia dibacakan untuk kali pertama, dijangkakan hari ini.

Perlu ada konsensus dalam kalangan rakyat Sarawak dan Sabah sebelum apa-apa pindaan dibuat ke atas satu peruntukan Perlembagaan yang akan memberi kesan ke atas masa depan mereka, kata Ng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.