
Peguam, Zaid Malek yang mewakili Zunar berkata, timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi, Firdaus Sidqi Sharil Azli mengeluarkan perintah itu di kamar hari ini.
“Mahkamah benarkan beliau menuntut ganti rugi am ke atas pengharaman buku itu, tetapi menolak tuntutan bagi ganti rugi khas.”
Kerajaan diwakili peguam kanan persekutuan, Jamilah Jamil.
Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque, memfailkan permohonan di mahkamah tahun lalu bagi mencabar kerajaan terdahulu mengharamkan “Sapuman” yang menghimpunkan koleksi karikatur mempersendakan pemimpin kerajaan, khasnya bekas perdana menteri, Najib Razak.
Beliau mendakwa Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku itu atas niat jahat dan tidak memaklumkannya secara bertulis mengenai tindakan berkenaan.
Menurut warta bertarikh 3 Oktober 2017, KDN menyatakan “Sapuman” diharamkan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana kartunnya boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Pengharaman itu dibatalkan pada Ogos tahun lalu oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.