Kita dah cakap Rosmah mangsa fitnah, kata Najib

SEREMBAN: Najib Razak malam tadi membidas mereka yang memfitnah isterinya, Rosmah Mansor berhubung berlian merah jambu selepas Putrajaya mengesahkan ia sudah dibawa keluar negara.

“Semalam apa kita dengar di Dewan Rakyat, VVIP dan cincin berlian merah jambu yang selama ini difitnah tidak dibeli oleh sesiapa,”¬†kata bekas perdana menteri ketika berceramah di Kampung Kanchong sempena pilihan raya kecil DUN Rantau malam tadi.

Lebih 1,000 orang memenuhi ceramah malam tadi, yang merupakan penampilan ke-3 Najib dalam kempen calon Barisan Nasional, Mohamad Hasan.

“Tapi masa PRU, tubuh badan ini dan isteri jadi bahan fitnah. Kita sudah cakap ada resit, ada transaksi masuk dan keluar, tapi lebih percaya Rafizi, Tony Pua pula,” katanya merujuk kepada Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua dan bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah pada Isnin memberitahu Dewan Rakyat bahawa ejen jualan membawa masuk berlian merah jambu untuk “isteri seorang VVIP” dan mengikrarkan kepada kastam.

Ejen tersebut juga mengikrarkan barangan itu apabila membawanya keluar negara.

“Tak berlaku pembelian setelah dibawa oleh ejen,” kata Amiruddin.