Malaysia catat jualan bersih asing 3 minggu berturut-turut

Setakat ini bagi tahun ini, dana asing menjual RM1.8 bilion bersih ekuiti tempatan.

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mencatatkan jualan bersih asing bagi 3 minggu berturut-turut apabila para pelabur mengalihkan peruntukan aset mereka kepada aset selamat seperti bon dan pasaran wang.

Ini disebabkan oleh senario lembap dalam pasaran global yang membawa impak yang lebih besar berbanding faktor dalaman.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jualan bersih semasa tempoh 4 hari pertama minggu ini (8-11 April) berjumlah RM162.8 juta, susut daripada RM291.9 juta dalam tempoh yang sama minggu lepas.

“Pelabur runcit merupakan pembeli utama di Bursa Malaysia sebanyak RM110.1 juta semasa tempoh 8-11 April, lantunan semula daripada jualan berjumlah RM11.3 juta daripada 1-4 April.

“Penyertaan institusi tempatan dalam saham tempatan berjumlah RM52.8 juta antara 8-11 April berbanding RM303.2 juta antara 1-4 April,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, aliran keluar mungkin akan berlaku dalam tempoh terdekat, tetapi pencetus utama adalah perkembangan luaran seperti keputusan negatif Brexit, pendekatan kadar faedah rendah dalam kalangan bank pusat utama, serta semakan semula menurun pertumbuhan global oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Biasanya, semasa tempoh tersebut, pelabur akan sangat defensif, membawa kepada permintaan tinggi terhadap sekuriti selamat seperti instrumen pendapatan tetap,” katanya.

Sementara itu, naib presiden kanan (Pelaburan) Philip Capital Management Dr Nazri Khan berkata, penurunan nilai jualan bersih bagi asas minggu-ke-minggu, disokong oleh faktor tempatan, termasuk harga komoditi lebih baik, penstabilan ringgit dan jangkaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih baik bagi suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini bagi tahun ini, dana asing menjual RM1.8 bilion bersih ekuiti tempatan.

“Melihat kepada kesannya ke atas Bursa Malaysia yang dijangka menyaksikan lantunan semula teknikal minggu depan.

“Dijangkakan akan ada belian dana asing bersih sebanyak 5% didorong oleh peningkatan harga komoditi serta mengekalkan kadar faedah,’’ katanya.

Bagi pergerakan ringgit pada minggu ini (April 8-11), data mengecewakan Indeks Pengeluaran Perindustrian Feb 2019, yang tumbuh hanya 1.7% tahun ke tahun, serta semakan menurun unjuran pertumbuhan global oleh IMF menyebabkan ringgit mencatatkan paras terendahnya dalam tempoh 10 minggu pada 4.1120 berbanding dolar AS.

Bagaimanapun, penganalisis kewangan yang enggan dikenali berkata, berita penyambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri akan memberi rangsangan kepada ringgit.

Dalam negara, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi membentang Kertas Putih Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Parlimen pada Rabu dan mendedahkan kerajaan akan memperuntukkan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan Felda menerusi geran, pinjaman dan jaminan kerajaan.

Sementara itu, saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) turun 52 sen kepada RM12.06 pada sesi penutup Khamis selepas Khazanah Nasional Bhd dilaporkan menjual 85 juta saham syarikat utiliti tersebut pada harga RM12.33 sesaham.

Jualan itu menghapuskan RM2.5 bilion daripada permodalan pasaran gergasi utiliti itu, mengurangkan saiznya kepada RM69.03 bilion.

Susulan penjualan itu, Khazanah kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan margin yang luas dalam TNB.